- Iklan -
Berita

SKMM pertahan operasi Starlink di Malaysia

Pengawal selia komunikasi berkata ia selaras dengan rangka kerja antarabangsa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata ia komited untuk menjaga kepentingan orang ramai dan memastikan semua perkhidmatan telekomunikasi beroperasi mengikut piawaian kawal selia. Gambar: Bernama
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata ia komited untuk menjaga kepentingan orang ramai dan memastikan semua perkhidmatan telekomunikasi beroperasi mengikut piawaian kawal selia. Gambar: Bernama

Operasi Starlink di Malaysia adalah selaras dengan kerangka antarabangsa, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).  

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia berpandukan kepada kerangka yang disediakan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) khususnya Peraturan Radio ITU ketika membuat keputusan berkaitan peruntukan dan pengurusan gangguan spektrum.

“Perkhidmatan satelit adalah secara asasnya global dan Peraturan Radio ITU menyediakan kerangka global untuk menyelaras dan mengawal perkhidmatan ini.

“Ia dengan jelas menggariskan kriteria perlindungan termasuk kewajipan untuk mencegah gangguan berbahaya kepada perkhidmatan sedia ada dan prosedur untuk menyelesaikan pertikaian gangguan, jika ada. Operasi Starlink di Malaysia adalah selaras dengan kerangka antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai respons kepada laporan sebuah portal teknikal mengenai kebimbangan dan isu yang ditimbulkan berkaitan kemungkinan gangguan kepada perkhidmatan telekomunikasi sedia ada serta kajian kewujudan bersama melibatkan Starlink. 

SKMM menyebut setakat ini, tiada aduan yang diterima mengenai gangguan yang dilaporkan.

Katanya jika berlaku sebarang gangguan, ia akan diatasi melalui penyelesaian gangguan sedia ada mengikut kerangka kebangsaan dan antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, Starlink telah diberi status Malaysia Digital yang membenarkannya beroperasi di negara ini dengan status pemilikan semasa.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian dan manfaat yang akan diberikan oleh Starlink. Sebelum mengeluarkan lesen tersebut, MCMC telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk memastikan pertimbangan mereka diambil kira," katanya.

Selain itu, SKMM kekal komited dalam melindungi kepentingan orang awam dan memastikan semua perkhidmatan telekomunikasi termasuk yang disediakan oleh Starlink, beroperasi dengan mematuhi standard serta peraturan.