- Iklan -
Berita

Saya harapkan permohonan DNAA terhadap Zahid ditangguh hingga selesai PRK Johor, kata Anwar

Perdana menteri berkata adalah tidak adil untuk menilai ahli politik yang berdepan pertuduhan, susulan kemarahan berterusan terhadap langkah menghentikan perbicaraan berkaitan rasuah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Anwar Ibrahim berkata beliau pada mulanya mengharapkan agar permohonan melepas tanpa membebaskan (DNAA) timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan sehingga selesai urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram di Johor, esok.

Namun, perdana menteri berkata Idrus Harun, yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai peguam negara, berkeras untuk menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Zahid ketika beliau masih berkhidmat.

“Jadi beliau jalankan tanggungjawab. Dia tak mahu lepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain. 

“Saya tak boleh halang dan bila saya baca kenyataan sebahagiannya benar, sebahagiannya melahirkan rasa kesangsian dan minta penjelasan lanjut," kata Anwar kepada pemberita hari ini, ketika kekecohan memuncak mengenai langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk menghentikan perbicaraan berterusan dengan pelbagai pihak mengecam Jabatan Peguam Negara dan Putrajaya.

Anwar yang melanjutkan tempoh perkhidmatan Idrus selama enam bulan pada Mac, berkata beliau tidak bersuara dalam keputusan bekas peguam negara itu. 

Beliau berkata Idrus memohon DNAA daripada Mahkamah Tinggi selepas membaca dokumen yang dikatakan "bocor", di mana timbalan pendakwa raya kononnya menentang tindakan bekas peguam negara Tommy Thomas untuk membawa pertuduhan terhadap Zahid. 

Ketulenan dokumen itu masih belum dapat disahkan. 

Anwar berkata Idrus mahu permohonan DNAA dilakukan sebelum hari terakhirnya memegang jawatan.

“AG (peguam negara) kata tarikh mahkamah ialah 4 hari bulan dan 5 hari bulan adalah hari akhir beliau,” katanya.

Sementara itu, dalam mempertahankan Zahid, Anwar berkata adalah tidak adil untuk membuat pertimbangan terhadap ahli politik. 

Beliau juga mempertikaikan kenyataan peguam terkemuka yang mengatakan hakim tidak mempunyai pilihan selain memberikan DNAA.

“Jangan dengar tohmahan orang politik ini. Kadang-kadang dia ini ikut sedap kata saja.

“Jadi saya syorkan baca ketetapan daripada AG (peguam negara) di hadapan hakim dan mengapa hakim kemudian bersetuju dengan usul itu. 

“Ada yang mengatakan hakim tak ada pilihan. Itu tak benar,” kata Anwar.

Beliau berkata hakim mempunyai budi bicara dalam memutuskan permohonan oleh peguam negara.

“Sebab tohmahan satu pihak ini kerajaan Anwar sudah tinggalkan reformasi, ini tak betul,” tambahnya.