- Iklan -
Berita

Jangan balik setiap tahun, Sanusi nasihat pelajar Kedah di Mesir

Menteri besar Kedah itu memberi pesanan kepada pelajar dan ibu bapa mereka: gunakan peluang di luar negara untuk menimba lebih banyak pengalaman.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) meninjau asrama pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) meninjau asrama pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menasihati pelajar Kedah yang menyambung pengajian di Mesir untuk tidak pulang ke kampung setiap tahun, ekoran tambang kapal terbang yang mahal.

Katanya, tekanan diberikan kepada lembaga zakat oleh ibu bapa pelajar yang mahu anak-anak mereka pulang.

Beliau berkata, ada antara mereka yang hampir setiap tahun balik ke kampung. 

"Mereka (ibu bapa) marah lembaga zakat tak tolong (bagi wang) kepada anak mereka.

"Musim buah dia balik, abang kakak menikah dia balik. Duit tambang pergi balik sahaja sudah lebih daripada apa yang zakat beri.

"Jangan suruh anak balik," katanya dalam satu program bersama pelajar Kedah di Mesir. 

Ini termasuk wang yang digunakan untuk membeli barangan untuk ahli keluarga di kampung.

Jumlah pelajar Malaysia yang sedang menuntut ilmu di Mesir ketika ini mencecah hampir 6,000 orang.

Menteri Agama Mohd Na’im Mokhtar baru-baru ini memaklumkan seramai 6,000 pelajar Malaysia sedang menyambung pengajian di negara tersebut dengan majoritinya berada dalam bidang pengajian Islam.  

Laporan kementerian pengajian tinggi pada tahun 2020 menyatakan hampir 10,000 pelajar Malaysia berada di timur tengah.

8,355 memilih untuk belajar di Mesir diikuti Arab Saudi (333), Jordan (654),  Turki (547), Iran (36), Emirah Arab Bersatu (19),  Kuwait (16), Qatar (12), Lubnan (4), 

Sanusi yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar untuk penggal kedua bulan lepas berkata, adalah lebih baik mereka menggunakan wang untuk mencari pengalaman di negara Mesir.

"Gunalah kesempatan menziarahi dan cari pengalaman di bumi Mesir. 

“Kalau ada duit lebih, pergi United Kingdom kutip epal. 

"Itu cara menambah ilmu dengan jauhnya berjalan," katanya.

Beliau turut menasihati golongan itu untuk tamat pengajian pada masa yang ditetapkan supaya kos pengajian tidak meningkat lebih tinggi.