- Iklan -
Berita

Sanusi dedah 3 kesalahan kerajaan Kedah terdahulu, nekad bongkar lebih banyak

Menteri besar Kedah yang lantang menentang tuduhan terhadapnya, mengatakan beliau mempunyai bercambah-cambah fail dengan butiran buruk terhadap pentadbiran BN dan PH sebelum ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor melambai pada majlis mengumumkan calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri akan datang di Alor Setar, 26 Julai. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor melambai pada majlis mengumumkan calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri akan datang di Alor Setar, 26 Julai. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor melancarkan serangan paling hebatnya terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semalam, memberitahu mereka supaya bersiap sedia dengan beberapa siri pendedahan salah laku oleh pentadbiran negeri terdahulu termasuk pembaziran berjuta-juta ringgit, hutang serta transaksi misteri daripada firma kerajaan ke Kanada. 

Sanusi berkata serangan terhadapnya yang diketuai oleh pemimpin PKR, Saifuddin Nasution dan Rafizi Ramli hanya semata-mata mahu melihat beliau masuk penjara.

"Niat, tujuan, hasrat mereka yang paling besar ialah pastikan Sanusi pakai gari, pakai baju oren. Saya sumpah, akan ada kebangkitan lebih besar daripada ini di seluruh negara, kerana saya akan bongkarkan semua kerja-kerja jahat ini jika mereka pakaikan saya baju oren," kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu malam tadi pada majlis pengumuman calon gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Katanya terdapat “bercambah-cambah fail" di pejabatnya dengan butiran kesalahan masa lalu tetapi berkata dia tidak pernah berniat untuk mendedahkannya.

"Tapi hang kurang ajar, aku akan londeh hang tiap-tiap hari. Saya kena bagi keterangan kepada polis tiap-tiap hari. 

“Hari ini dua kes, sampai maghrib. Tiap-tiap hari ucapan saya diteliti oleh satu pasukan. Tiap-tiap perkataan diteliti. Sila report, sila report, darai! Kalau darai tak payah lawan kami, pergi balik pakai kain batik."

Ahli politik popular Kedah itu menjadi sasaran utama pemimpin PH dan BN dalam usaha mereka untuk merampas negeri tersebut, dengan pemimpin tertinggi termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim muncul hampir setiap hari dalam siri ceramah beberapa minggu lalu.

Saifuddin, yang juga menteri dalam negeri, mengetuai pertuduhan terhadap Sanusi, yang didakwa menghasut selepas mengeluarkan kenyataan mempersendakan prestasi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari serta dikatakan menghina sultan Selangor awal bulan ini. 

Saifuddin antara lain menuduh Sanusi terlibat dalam kecurian galian nadir bumi, dan salah laku dalam pembinaan litar lumba motosikal yang sudah lama tertangguh di Sungai Petani. 

Sanusi menyifatkan kedua-dua tuduhan itu sebagai tidak berasas, sambil menambah beliau sedang menunggu Saifuddin menjawab tuntutannya untuk memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang. 

Semalam, beliau menyenaraikan beberapa contoh yang menurutnya menunjukkan salah laku kerajaan negeri BN sebelum ini, sambil menambah bahawa ia adalah yang pertama daripada beberapa siri pendedahan yang akan dilakukannya dalam beberapa hari akan datang.

"Saya susun elok-elok, tiap-tiap ceramah saya akan bagi soalan untuk depa jawab."

Memberi satu contoh, Sanusi berkata semasa penggal pertama PH memerintah, syarikat air negeri Syarikat Air Darul Aman (Sada) mengalami kerugian RM36 juta dan hutang RM149 juta.

"RM36 juta itu aku bayar, RM149 juta pun aku bayar. Awat hang tak siasat?" soal Sanusi.

Beliau berkata semasa BN memerintah, negeri itu memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat untuk membangunkan Taman Antarabangsa Jerai.

"Perjanjian itu telah dilanggar, menyebabkan kerajaan negeri disaman, dituntut RM50 juta. Setelah rundingan selama 30 tahun, pada tahun ini, kerajaan negeri diperintah bayar RM21 juta. Awat hang tak siasat?”

"Pemimpin BN buat kerja ini. Sekarang ini BN dan PH cium mulut."

Sanusi turut mempersoalkan transaksi berjumlah RM13 juta daripada MBI ke akaun di Kanada.

"Mana duit itu pergi, pasal apa hang tak siasat?"

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.