- Iklan -
Berita

Sanusi beri keterangan kepada SPRM berhubung siasatan nadir bumi

Menteri besar Kedah itu berkata beliau telah disoal siasat oleh pegawai agensi antirasuah minggu lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengesahkan yang beliau telah memberikan keterangan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Tanpa menyatakan lokasi keterangan itu diberikan, Muhammad Sanusi berkata beliau memberikan keterangan itu pada minggu lepas dan terdapat empat soalan ditanyakan kepadanya ketika itu.

“Saya telah bertemu dengan pegawai SPRM dan berikan kenyataan saya.. sekitar empat soalan. Itu saja,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Pada Julai lepas, media melaporkan yang 10 Exco kerajaan negeri Kedah dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes REE itu.

Selain itu, pada 19 Julai lalu, media turut melaporkan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada 20 Julai dilaporkan sebagai berkata SPRM merakamkan kenyataan 12 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes itu.