- Iklan -
Berita

Sanusi tolak tanding jawatan naib presiden PAS

Menteri besar Kedah itu berkata beliau lebih suka menjadi ahli jawatankuasa pusat parti Islam tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor hari ini memaklumkan beliau menolak untuk dinamakan sebagai calon bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan ke-69 parti itu, bulan depan.

Menteri besar Kedah itu berkata ini kerana merasakan dirinya belum cukup layak untuk memegang jawatan tersebut dan beliau lebih selesa menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sahaja. 

“Saya tahu tahap dan kualiti diri saya macam mana… hendak memimpin PAS atau sektor lain, ciri-ciri kelayakan tidak sama, sebab itu saya boleh jadi menteri besar tetapi pesuruhjaya PAS negeri orang lain pegang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pencalonan namanya untuk bertanding jawatan itu.

Menyentuh tindakan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional di kerusi Parlimen Kemaman, Muhammad Sanusi berkata parti itu menerima keputusan tersebut.

Beliau berkata pimpinan PAS sedang berbincang dengan peguam sama ada akan mengemukakan rayuan atau memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil.

Pada 3 Januari lepas, Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri beberapa hari sebelum pengundian.