- Iklan -
Berita

Hakim terima ‘alasan kukuh kami’, Jabatan Peguam Negara jawab kritikan bebas Zahid

Jabatan Peguam Negara mempertahankan tindakan kontroversinya dalam usaha untuk memberhentikan pertuduhan terhadap timbalan perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Bangunan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Jabatan Peguam Negara mempertahankan tindakan kontroversinya yang menyebabkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan, mengatakan hakim membuat keputusan itu berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakan mereka kepada mahkamah.

Dalam satu kenyataan ringkas, Jabatan Peguam Negara berkata Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yakin dengan hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

“Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh," katanya dalam satu kenyataan, menjawab dakwaan yang menyifatkan keputusan itu sebagai tidak bermoral.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kritikan yang semakin memuncak terhadap Jabatan Peguam Negara serta kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan ramai yang menggesa peguam negara menjelaskan langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk membebaskan Zahid meskipun wujud kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menyertai kritikan susulan penghakiman DNAA terhadap Zahid, menyifatkan tindakan Jabatan Peguam Negara untuk memberhentikan kesnya terhadap presiden Umno sebagai "tidak bermoral".

“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. Ini amatlah tidak munasabah. 

“Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai? Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekalipun?" soal bekas perdana menteri itu.

“Sekiranya benar terdapat arahan sedemikian, pengguguran pertuduhan ke atas Zahid selepas beliau diarah membela diri di mahkamah merupakan titik hitam yang amat gelap dalam sistem keadilan di negara kita. 

“Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia yang merdeka sebelum ini.”