- Iklan -
Berita

Sikap Anwar sebabkan semangat federalisme luntur selepas kempen PRN?

Penganalisis mempertimbangkan kesan kenyataan kempen yang membandingkan satu negeri dengan negeri yang lain.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Putra Perdana di Putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.
Bangunan Putra Perdana di Putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Penganalisis berkata semangat federalisme dilihat semakin luntur dalam kalangan rakyat selepas kempen di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, selepas sentimen kenegerian dimainkan oleh penyokong-penyokong parti politik.

Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia berkata, ini kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat terbawa-bawa sensitiviti kepartian.

“Mereka sebaliknya perlu berkhidmat secara profesional mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang jelas menggariskan bidang kuasa negeri dalam Persekutuan," katanya kepada MalaysiaNow. 

Anwar pada Julai menyatakan kerajaan Kelantan tidak mampu membangunkan negeri tanpa bantuan kerajaan campuran.

“Begitu juga Perlis, jika kita tidak bantu beri peruntukan, nak bayar gaji pun tak mampu," kata Anwar dalam satu program di Gua Musang. 

Selain Anwar, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli juga sering mengkritik negeri-negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN). Beliau baru-baru ini Rafizi mengkritik beberapa negeri kerana menerima dana pembangunan tertinggi namun tiada perancangan ekonomi yang baik.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membidas Rafizi berkata hasil persekutuan diperoleh daripada rakyat dan semua negeri.

“Kita perlu berjiwa besar, bukan berasa diri besar atau berasa 'superiority complex'," katanya dalam satu surat terbuka kepada Rafizi.

Mengulas cara kempen Anwar, Pengerusi Majlis Profesor Negara Shamsul Amri Baharuddin berkata ucapan Anwar ketika berkempen bukan ucapan rasmi.

“Ia adalah ucapan kempen politik yang berulang kali terbukti tak semuanya tepat.

“Kandungannya dipilih ikut sesuai 'mood' semasa beliau. “Maka ia boleh tafsir dari berbagai sudut sama ada positif dan negatif," katanya.

Menurut Shamsul, pihak hadirin akan mentafsirkan ucapan beliau sebagai ucapan daripada seorang perdana menteri, meskipun dalam kempen politik beliau ialah presiden PKR.

Shamsul berkata, peranan Anwar bertindih ekoran jawatan yang dipegangnya iaitu perdana menteri, menteri kewangan, menteri wilayah dan presiden PKR. "Ramai yang menganggap ucapan beliau sebagai ucapan rasmi perdana menteri," katanya.

Atory pula menambah, kerajaan pusat tidak wajar bertindak seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kalau perdana menteri boleh membuat memorandum persefahaman dengan negara asing, mengapa pula kerjasama antara pusat dan negeri-negeri dianggap 'alergik'?

“Perdana menteri sebelum ini tiada masalah dengan ketua menteri atau menteri besar," katanya.

Dalam pada itu, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata kritikan Rafizi baru-baru ini berhubung perancangan ekonomi tidak hanya tertumpu kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh PN.

"Tuduhan bahawa Rafizi menyasarkan negeri ditadbir PN tidak tepat. “Namun demikian, beliau harus lebih berhati-hati dalam kritikannya, seperti menggesa negeri-negeri tersebut menambah baik pengurusan kewangan dan bukan menyatakan mereka tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang baik,” katanya.

Mengakui bahawa Rafizi bersifat “over-zealous” dalam menyampaikan hujahnya, Oh berkata ahli Parlimen Pandan itu terlalu teruja untuk menunjukkan keunggulan profesional.

“Beliau seperti Lim Guan Eng dalam hal ini," katanya merujuk kepada pengerusi DAP.