- Iklan -
Berita

Kerajaan digesa tidak teruskan pindaan 'kejam' undang-undang kewarganegaraan

Dua peguam dan dua aktivis berganding bahu menggesa Putrajaya menghentikan rancangan itu yang mereka katakan akan mewujudkan golongan baru tanpa kerakyatan termasuk kanak-kanak.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak melihat dari balkoni unit pangsapuri kos rendah di Sentul, Kuala Lumpur.
Seorang kanak-kanak melihat dari balkoni unit pangsapuri kos rendah di Sentul, Kuala Lumpur.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, peguam dan aktivis mengulangi gesaan agar kerajaan menggugurkan rancangannya untuk meminda peruntukan perlembagaan yang bertujuan menafikan hak individu tanpa kewarganegaraan, dengan mengatakan slogan perpaduan dan harapan Putrajaya tidak boleh mengenepikan kumpulan ini.

“Sambutan kami namun telah dicemari, kerana kerajaan yang telah menjanjikan reformasi, kini mengambil satu langkah yang aktif yang akan terus menghumban mereka kepada satu keadaan limbo tanpa harapan dan tanpa penyelesaian," menurut kenyataan yang ditandatangani peguam Ambiga Sreenevasan dan Latheefa Koya, dan aktivis Hartini Zainudin dan Maalini Ramalo.

“Ianya bagai satu mimpi ngeri dystopia, dan logik di sebalik langkah kerajaan ini tidak dapat difahami. 

“Malah kerajaan-kerajaan sebelum ini yang tidak melaungkan reformasi atau ketelusan tidak pernah tunduk serendah tahap ini.”

Mereka memberi amaran bahawa cadangan untuk menghapuskan Seksyen 1(e) Jadual Kedua Bahagian 2 perlembagaan akan membawa kesan yang dasyat kepada mereka yang dilahirkan dalam keadaan tanpa kerakyatan.

“Bayi dan kanak-kanak akan dihukum dari sejak lahir lagi," tambah mereka.

“Cadangan pindaan ini adalah tidak wajar dan bercanggah dengan objektif asal mengapa peruntukan ini dimasukkan di dalam perlembagaan tersebut.”

Mereka berkata, perlembagaan 1957 memberikan kewarganegaraan kepada sesiapa yang dilahirkan di bumi Malaysia di bawah prinsip "jus soli".

“Kemudian pada tahun 1962, beberapa pindaan telah dibuat untuk memasukkan syarat bahawa sekurang-kurangnya salah satu ibu bapa adalah seorang warganegara dalam pemberian kewarganegaraan kepada anak. 

“Bagi mengelakkan bahaya sesiapa dijadikan stateless (tanpa kewargengaraan) akibat syarat baru ini, maka Seksyen 1 (e) telah diperkenalkan ke dalam Perlembagaan. 

“Penggubal-penggubal pindaan 1962, berpandang jauh dan telah memastikan terdapat perlindungan dalam bentuk Seksyen 1 (e) tersebut. 

“Maka keputusan yang tidak masuk akal untuk memansuhkan seksyen 1( e) yang akan mewujudkan satu golongan kelas bawahan yang baru, yang akan tinggal di sebuah negara yang enggan mengiktiraf kewujudan sah mereka dan secara sistemik menafikan mereka dari menyertai masyarakat dalam secara saksama. 

“Sama ada ianya dilakukan secara sengaja atau tidak, hasilnya adalah satu pembentukan secara jahat (social engineering) kelas bawahan yang baru.”

Kumpulan berkenaan juga mengecam cadangan untuk menghapuskan Seksyen 19B Jadual Kedua Bahagian 3, yang mereka katakan akan menafikan hak anak-anak terbiar atau yatim piatu untuk mendapatkan kewarganegaraan.

“Terdapat beberapa cadangan pindaan yang lain – hak mendapatkan kewarganegaraan oleh mereka yang bermastautin tetap juga dikeluarkan, menjadikan anak kelahiran kepada mereka yang bermastautin tetap juga menghadapi keadaan tanpa kewarganegaraan.”

Pada Julai, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan pindaan perlembagaan akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu.  

Beliau merujuk kepada pindaan yang akan menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang melanda anak-anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara dengan suami warga asing.

Tetapi peguam dan aktivis berkata ia adalah "tipu helah dan muslihat" bahawa pindaan itu telah dipakej bersama pindaan untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita warganegara Malaysia.

“Adalah satu tindakan kaunter-produktif, apabila kerajaan ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan ini dari satu segi, tetapi pada masa yang sama mewujudkan golongan baru tanpa kewarganegaraan yang lebih besar. 

“Maka secara logiknya, golongan ini bukan sahaja tidak akan mengecil, tetapi akan berganda termasuk secara bergenerasi.

“Apakah dosa kanak-kanak yang dilahirkan luar nikah sehingga mereka dinafikan satu masa depan?

“Mengapakah bayi yang dibuang dan anak-anak yatim dihukum oleh kerajaan untuk suatu keadaan yang bukan di bawah kawalan mereka?

“Apakah keadilan bagi mereka yang hanya kenali Malaysia sebagai negara mereka dan masih dinafikan kewarganegaraan?”