- Iklan -
Berita

Malaysia mungkin saman Goldman Sachs atas skandal 1MDB, kata Anwar

Perdana menteri berkata Malaysia sedang menilai semula perjanjian itu kerana jumlah penyelesaiannya adalah kecil.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Goldman Sachs dilihat di aras dagangan di Bursa Saham New York, 17 November 2021. Gambar: Reuters
Logo Goldman Sachs dilihat di aras dagangan di Bursa Saham New York, 17 November 2021. Gambar: Reuters

Malaysia mungkin meneruskan tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs berhubung peranan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu dalam skandal rasuah melibatkan berbilion dolar dana negara 1MDB, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam wawancara bersama CNBC. 

Goldman telah membuat penyelesaian dengan Malaysia pada 2020 dengan bersetuju membayar AS$2.5 bilion (RM11.62 bilion) secara tunai dan menjamin pemulangan AS$1.4 bilion aset kepada negara sebagai pertukaran untuk menggugurkan semua tuduhan jenayah terhadap bank berkenaan. 

Bagaimanapun awal tahun ini Anwar, yang dilantik pada hujung 2022, berkata bahawa Malaysia sedang menilai semula perjanjian itu kerana jumlah penyelesaiannya adalah kecil. 

"Saya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan lagi dengan tuntutan mahkamah," kata Anwar kepada CNBC dalam satu wawancara yang disiarkan hari ini. 

Anwar berkata, Malaysia juga sedang mempertimbangkan pilihan lain, termasuk melakukan rundingan.

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Goldman namun tidak berjaya.

Bank AS sentiasa menafikan salah laku dalam kes 1MDB. 

Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, dalam skim rentas dunia yang membabitkan pegawai kerajaan dan perbankan peringkat tinggi di Malaysia dan tempat lain. 

Goldman telah membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion dalam dua tawaran bon, memperoleh yuran sebanyak AS$600 juta, menurut Jabatan Kehakiman AS.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian 2020, Goldman juga dikehendaki membuat pembayaran interim sekali sebanyak AS$250 juta jika kerajaan Malaysia tidak menerima sekurang-kurangnya AS$500 juta dalam aset dan hasil menjelang Ogos 2022, kata bank itu dalam pemfailan kawal selia tahun ini.

Kedua-dua pihak tidak bersetuju sama ada Malaysia memperoleh semula sekurang-kurangnya AS$500 juta pada Ogos 2022 dan sama ada sebarang bayaran interim perlu dibayar, kata Goldman. 

Pertikaian itu akan diselesaikan melalui timbang tara jika kedua-duanya tidak dapat menyelesaikan perkara itu, kata bank tersebut.