- Iklan -
Berita

Peguam bidas SPRM kerana gangguan, dedah tawaran pegawai kanan SPRM henti siasatan

Mansoor Saat mendedahkan cubaan untuk menawarkan jalan keluar kepadanya dengan bersetuju untuk memindahkan saham syarikatnya kepada syarikat lain.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat. Gambar: Bernama
Petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat. Gambar: Bernama

Seorang peguam yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melarikan diri daripada siasatan berhubung kontrak pembangunan sistem baru pengurusan imigresen membuat dakwaan mengejutkan membabitkan pegawai kanan agensi antirasuah itu, serta siri gangguan ke atas beliau dan keluarganya.

Mansoor Saat, pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd yang terlibat dalam pembangunan sistem data biometrik pekerja asing, turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan SPRM bahawa beliau melarikan diri, sambil menegaskan kenyataan yang mengatakan beliau sedang diburu adalah cubaan untuk memburuk-burukkan namanya.

"Tiada kepalsuan yang lebih besar daripada itu. Saya bukan pelarian. Saya juga tidak melarikan diri," katanya sambil menambah pegawai penyiasat itu tahu apa yang berlaku tetapi "berusaha untuk melemparkan fitnah terhadap integriti saya". 

"Saya menolak naratif palsu itu dengan semua kuasa yang ada pada saya," katanya, sambil menambah beliau sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap SPRM kerana penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan agensi awam.

SPRM mendakwa Mansoor bersama Muhammad Adlan Berhan melarikan diri ke luar negara ketika siasatan terhadap amalan rasuah berkaitan pendaftaran, pemerolehan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing. 

Adlan, yang merupakan menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut menafikan beliau melarikan diri, dengan peguamnya berkata beliau sudah menulis kepada SPRM pada Jun mengenai rancangan perjalanannya, tanpa mendapat sebarang maklum balas.

Mansoor berkata beliau juga telah memaklumkan kepada SPRM tentang rancangan perjalanannya, tetapi tidak menerima sebarang jawapan daripada pegawai penyiasat.

"Sebarang kenyataan yang saya tidak boleh dihubungi adalah tidak benar. Pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam siasatan itu mengetahui keberadaan saya," katanya.

Beliau berkata pada kemuncak kempen pilihan raya negeri baru-baru ini, beliau berkata pegawai itu mengarahkan beliau supaya pulang "segera".

Mansoor berkata selepas menjawab bahawa beliau tidak boleh pulang segera sehingga urusan perniagaannya selesai, pegawai SPRM mengganggunya dengan ancaman fitnah dan pembunuhan watak.

Beliau kemudian mendapati bahawa akaun bank miliknya dan isterinya dibekukan tanpa notis, dan larangan perjalanan dikenakan ke atasnya.

"Isteri saya tidak ada kaitan langsung dengan perkara yang sedang disiasat oleh SPRM," tambah Mansoor. 

Permintaan pemindahan saham 

Mansoor dalam kenyataannya hari ini turut membuat pendedahan mengejutkan mengenai jalan keluar yang ditawarkan oleh pegawai kanan SPRM kepadanya.

Katanya, beliau pertama kali dipanggil oleh SPRM pada Mac, dan diberitahu bahawa beliau diperlukan untuk membantu siasatan berkaitan pertukaran akaun projek NERS Sdn Bhd untuk menerima hasil daripada Kementerian Dalam Negeri kepada akaun operasi syarikat.

"Ia mengambil masa tiga hari. SPRM tidak menunjukkan kepada saya sebarang bukti untuk menyokong dakwaan rasuah atau amalan rasuah," katanya. 

Beliau berkata ketika siasatan selama tiga hari itu, seorang pegawai kanan memintanya untuk memindahkan sahamnya dalam NERS Sdn Bhd kepada pemegang saham baharu S5 Systems Sdn Bhd, yang merupakan syarikat pengendali ketika itu.

"Saya difahamkan, jika saya bersetuju dengan pemindahan itu, pengalaman pahit saya akan berakhir. Beberapa hari selepas siasatan, saya menerima surat yang ditulis oleh S5 untuk saya laksanakan pemindahan saham saya dalam NERS kepada S5," katanya.

"Adalah jelas bahawa apa yang saya alami sekarang adalah disebabkan oleh keengganan saya untuk memindahkan saham." 

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam jawapan ringkas berkata beliau masih belum membaca kenyataan Mansoor.

"Saya tak mahu dengar apa-apa alasan. Balik saja dan jumpa pegawai penyiasat," katanya kepada MalaysiaNow.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sering menyentuh kes itu dalam banyak ucapannya ketika berkempen untuk pilihan raya di enam negeri yang baru selesai.

Dalam satu ucapan, Anwar berkata beliau telah dihubungi oleh Azam yang memaklumkan kepadanya mengenai siasatan, menyifatkan kes itu sebagai "kes besar". 

Sementara itu, Mansoor mengecam penggunaan media untuk mempengaruhi pendapat umum, sambil berkata ia adalah cara SPRM "untuk meningkatkan reputasinya yang meruncing atau untuk memuaskan desakan politik”.

"Saya sedih kerana SPRM dipergunakan dengan cara yang amat menyedihkan," katanya, sambil menambah bahawa terdapat tujuan politik, dan menjadi sasaran kerana kaitannya dengan Adlan. 

"Saya seorang ahli perniagaan serta peguam bela dan peguam cara yang mempunyai perniagaan berkait dengan ramai orang lain dan saya terkejut kerana hubungan saya dengan Dato Sri (Adlan) dibangkitkan.

"Saya bagaimanapun tidak akan membiarkan diri saya dibuli supaya tunduk dan menyerahkan dengan saham saya untuk memberi manfaat kepada beberapa pemain korporat yang rapat dengan beberapa pegawai SPRM," katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi