- Iklan -
Berita

Terbaru, akaun TikTok TV Pertiwi pula berdepan sekatan

Syarikat media tempatan itu masih menunggu jawapan daripada TikTok.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Logo TikTok di luar ibu pejabat syarikat itu di Culver City, California, Amerika Syarikat, 15 September 2020. Gambar: Reuters
Logo TikTok di luar ibu pejabat syarikat itu di Culver City, California, Amerika Syarikat, 15 September 2020. Gambar: Reuters

Akaun TikTok milik sebuah media tempatan, TV Pertiwi disekat secara kekal hari ini, disyaki selepas mengulas isu-isu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung minggu lalu.

MalaysiaNow difahamkan, ia selepas organisasi itu membawa penganalisis politik, Ridhuan Tee Abdullah sebagai ahli panel program mereka.

Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow, pengurusan TV Pertiwi berkata, pihak mereka tidak diberikan penjelasan secara jelas.

"Akaun TikTok TV Pertiwi sebelum ini mempunyai lebih 63,000 pengikut serta lebih 600,000 'likes' yang mana kandungan disiarkan adalah berdasarkan temu bual panel-panel jemputan berhubung isu semasa.

"TV Pertiwi menggesa pihak pengurusan TikTok dan kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital tampil menjelaskan perkara ini kerana sekatan ini hanya berlaku di TikTok sedangkan kandungan sama tidak dikenakan apa-apa tindakan di Facebook atau Youtube mahupun pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, SKMM tidak memberikan sebarang maklum balas kepada sekatan terhadap laman MalaysiaNow dan UtusanTV.

Difahamkan, sekatan terhadap UtusanTV ditarik semula sebelum Pilihan Raya Negeri pada Sabtu lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata tidak pernah memberikan arahan kepada SKMM untuk menyekat mana-mana laman portal.

Beliau sebelum ini turut menegaskan tidak pernah bercadang mengharamkan aplikasi TikTok.

Selain organisasi media, akaun TikTok menteri besar Kedah turut disekat. 

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu hantaran berkata kerajaan tidak campur tangan mengenai keputusan aplikasi itu untuk memadam satu-satu akaun.

Dalam pada itu, TV Pertiwi berkata pihaknya sewajarnya diberikan keadilan dan berhak menyiarkan kandungan termasuk mengkritik kerajaan.

"Setakat jam 1.45 petang, TV Pertiwi masih menunggu maklum balas dari pihak TikTok. Buat masa ini, TV Pertiwi telah mencipta satu lagi akaun untuk memuat naik kandungan terkini menerusi @tvpertiwi2," katanya.