- Iklan -
Berita

SPRM mohon supaya nama menantu Muhyiddin disenarai dalam notis merah, kata KPN

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan menerima permintaan secara lisan daripada agensi antirasuah itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Gambar: Bernama

Polis mengesahkan telah menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyenaraikan nama menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dalam notis merah Interpol berkaitan siasatan dakwaan rasuah.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata permohonan untuk menyenaraikan Muhammad Adlan Berhan, 48, dalam notis merah berkenaan diterima secara lisan daripada SPRM.

Bercakap kepada sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman hari ini, beliau berkata PDRM dan SPRM akan bekerjasama dalam kes berkenaan.

“Sekiranya ada maklumat tambahan (notis merah interpol) saya akan memaklumkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 9 Ogos lepas SPRM memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu, termasuk menantu Muhyiddin, ke dalam senarai notis merah jika gagal tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilapor berkata Muhammad Adlan dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan dakwaan kes rasuah dan penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.