- Iklan -
Berita

Azam Baki cetus kemarahan selepas umum 'kes tutup' libatkan lesen carigali syarikat Farhash di Sabah

Parti Muda membidas keputusan itu sambil berkata ketua pesuruhjaya SPRM itu memerlukan restu Anwar Ibrahim untuk survival.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas pemimpin PKR Farhash Wafa Salvador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Bekas pemimpin PKR Farhash Wafa Salvador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Pelbagai pihak menyatakan rasa marah susulan pengumuman mengejut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini, bahawa bekas bekas pemimpin PKR yang kini bergelar ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador telah dibersihkan daripada sebarang salah laku berhubung kelulusan lesen cari gali membabitkan kawasan hutan simpan yang luas di Sabah.

Pelbagai hantaran media sosial membidas Azam, di mana ramai merujuk lanjutan tempoh jawatan sebanyak tiga kali yang diberikan kepada ketua SPRM itu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pemangku presiden Parti Muda, Amira Aisya, mempersoalkan bagaimana siasatan itu selesai dalam tempoh masa yang pendek, sedangkan kes rasuah lain masih belum diambil tindakan.

"Lajunya siasatan dibuat. Apa dokumen yang telah diteliti? Punya banyak kes yang dilaporkan kepada SPRM, contohnya isu lesen perlombongan Sabah, yang terang-terang ada bukti. Baru dua orang didakwa," katanya merujuk kepada pendedahan video oleh ahli perniagaan Albert Tei yang menampilkan beberapa ahli politik kerajaan Sabah berbincang rasuah berkaitan lesen perlombongan.

"Contoh lagi: laporan polis yang saya buat mengenai dakwaan Albert Tei yang dia dapat amaran dari pegawai SPRM. Sampai sekarang Azam Baki tak buat siasatan dalam SPRM untuk cari pegawai tersebut. Kalau semua kes ini punya lama nak buat, kenapa kes Farhash boleh laju tutup?"

Dalam kenyataan berasingan, Parti Muda berkata Azam kini bertindak atas arahan Anwar dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi.

"Rakyat juga tahu mengapa kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, disambung. Ia bukan soal prestasi, tetapi soal survival.

"Dan kini survival itu bergantung kepada restu Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi," kata Muda.

Parti itu turut mempersoalkan bagaimana siasatan membabitkan konsesi bagi kawasan tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur boleh diselesaikan dengan begitu cepat.

"Maka, wajar bagi rakyat bertanya: adakah komen Perdana Menteri mengenai perkara ini? Bukankah Farhash pernah bekerja rapat dengan Anwar Ibrahim?"

Pada September tahun lalu, laporan Bloomberg antara lain memetik sumber sebagai berkata bahawa Anwar telah mengarahkan Azam supaya tidak menyiasat Farhash berhubung pembelian kontroversi saham dalam syarikat yang menerima kontrak RM1 billion untuk membangunkan sistem imigresen baharu.

Laporan itu memetik sumber sama sebagai berkata Azam diarah menyasarkan musuh Anwar iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Daim Zainuddin.

Ia disusuli laporan polis difailkan balu Daim, Na'imah Khalid, menggesa Anwar disiasat atas salah guna kuasa. Bagaimanapun, polis mengisytiharkan "tiada tindakan lanjut" terhadap laporan itu.

Dalam sidang media hari ini, Azam berkata timbalan pendakwa raya mendapati tiada kes jenayah boleh dibawa terhadap mana-mana pihak dalam kes membabitkan permohonan lesen cari gali mineral oleh syarikat milik Farhash.

"Akhirnya timbalan pendakwa raya membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu 'governans' yang terlibat di sini," kata Azam.

Laporan MalaysiaNow pada 21 Julai , 2025.
Laporan MalaysiaNow pada 21 Julai , 2025.

Pada Julai, MalaysiaNow mendedahkan dokumen dan rakaman audio menunjukkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, ketika mempengerusikan sebuah mesyuarat agensi mineral negeri itu, meluluskan permohonan Bumi Suria Sdn Bhd untuk mendapatkan lesen cari gali mineral melibatkan kawasan hutan simpan seluas 70,000 hektar berhampiran sempadan Kalimantan - iaitu hampir tiga kali ganda keluasan bandar raya Kuala Lumpur.

Bumi Suria merupakan syarikat milik bersama Farhash dan seorang lagi individu, Aminuddin Mustapha. 

Keputusan itu dibuat pada 21 Mei tahun lalu, hanya dua minggu selepas Farhash dan Aminuddin dilantik sebagai pengarah syarikat itu.

Susulan itu, pengarang MalaysiaNow disoal siasat polis berdasarkan laporan polis oleh Farhash, tindakan yang dikritik Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebagai ancaman kepada kebebasan media.

Farhash turut memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap MalaysiaNow. Bagaimanapun, beliau gagal mendapatkan perintah melarang portal itu daripada terus melaporkan isu itu.

Dalam keputusannya pada 4 September, Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata ia pembelaan yang dikemukakan portal itu "bukanlah tidak benar secara terang-terangan", dan oleh itu tiada keperluan untuk mengenakan sebarang injunksi.

Sementara itu, pengumuman Azam hari ini disambut dengan kecaman oleh pengguna media sosial.

"Azam Baki dah bagi tahu. Muktamad! Azam Baki ialah KP SPRM yang disambung kontrak oleh kerajaan Madani," kata pengguna X BrotherBatu Return.

"Tak pernah dengar pun SPRM umum akan bercakap Farhash berhubung skandal tanah dekat Sabah tiu. Tetapi tengok-tengok hari ini, SPRM boleh umum pula yang kertas siasatan berkenaan Farhash itu telah ditutup.

"Kau tak pernah umum siasat dia, tengok-tengok kau tutup siasatan? Macam ni ke kita nak harapkan pihak berkuasa untuk siasat Farhash untuk apa jua kes?" soal pempengaruh dan pengulas politik, Papa Berry.

Pengguna X icomplain pula menulis: "Budak baik Azam Baki," disertakan dengan emoji tulang.

"Dia perlu angkat bosnya dan pertahankan jawatannya!" tulis Yang Gor Condor Returns.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.