- Iklan -
Berita

Rakan penghantar nikmati faedah walaupun waktu kerja fleksibel, status pekerja bebas, kata Grab

Syarikat itu berkata ia akan terus berusaha untuk kekal 'telus dan adil' tetapi tidak memberikan petunjuk khusus tentang sebarang semakan upah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) dalam pertemuan dengan 24 wakil pengendali perkhidmatan p-hailing, 8 Ogos. Gambar: Twitter
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) dalam pertemuan dengan 24 wakil pengendali perkhidmatan p-hailing, 8 Ogos. Gambar: Twitter

Pengendali p-hailing terbesar negara Grab berkata syarikat itu komited ke arah pendapatan telus untuk penghantarnya, tetapi tidak memberikan sebarang petunjuk khusus untuk menyemak semula komisen dan kadar upah mereka. 

Grab dalam satu kenyataan berkata sifat pekerjaan yang ditawarkan kepada rakan penghantarnya adalah fleksibel, sambil menambah bahawa mereka “boleh memulakan dan menamatkan kerja pada bila-bila masa” selain mengambil peluang memperoleh pendapatan lain. 

Syarikat itu juga berkata ia membuat pelaburan besar terhadap kebajikan rakan penghantarnya termasuk perlindungan insurans, peluang peningkatan kemahiran, diskaun bahan api serta caruman untuk Perkeso dan KWSP.

“Dalam mengambil kira perkara ini, Grab akan terus berusaha untuk kekal telus dan adil dalam menjana  pendapatan rakan-pemandu dan penghantar kami,” kata Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo.

Pada Selasa, wakil Grab bersama 23 syarikat p-hailing lain menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, susulan janjinya untuk mengemukakan aduan penghantar mengenai kadar dan komisen yang rendah. 

Selepas pertemuan itu, Anwar dilaporkan berkata syarikat-syarikat telah bersetuju untuk memperhalusi lagi isu gaji yang ditawarkan kepada rakan penghantar.

“Usaha ini membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat mengenai kepentingan semua pihak dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar berjanji untuk mengutarakan isu itu semasa perhimpunan di Petaling Jaya bulan lepas bagi mendapatkan sokongan daripada penghantar p-hailing di Selangor menjelang Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos.

Grab dalam kenyataannya hari ini berkata syarikat itu menyediakan perlindungan walaupun rakan penghantarnya berstatus sebagai pekerja bebas.

“Justeru, kami akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menambah baik perlindungan sosial dan memastikan penyediaan peluang peningkatan kemahiran untuk rakan pemandu dan rakan penghantar kami, sekali gus melengkapi mereka dengan latihan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi gig yang sedang berkembang,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.