- Iklan -
Berita

Anwar minta Saudi Aramco melabur di Kemaman

Perdana menteri berkata beliau meminta gergasi minyak dan gas itu untuk melabur di Kemaman selepas diberitahu bahawa ia mahu menjadikan Johor sebagai hab pengembangannya untuk Asia Tenggara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja Saudi Aramco berjalan berhampiran tangki minyak di kilang penapisan minyak dan terminal minyak Ras Tanura Saudi Aramco di Arab Saudi, 21 Mei 2018. Gambar: Reuters
Seorang pekerja Saudi Aramco berjalan berhampiran tangki minyak di kilang penapisan minyak dan terminal minyak Ras Tanura Saudi Aramco di Arab Saudi, 21 Mei 2018. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco untuk melabur di Kemaman, Terengganu.

Beliau berkata sebelum ini Pengerusi Aramco Yasir O. Al-Rumayyan memaklumkan kepadanya bahawa syarikat itu mahu menjadikan Johor sebagai pusat gerakan mereka di rantau Asia Tenggara.

“Tetapi saya kata tidak apa dan saya bagi tahu suruh pergi ke Kemaman,” katanya semasa berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Terengganu di Wakaf Tapai malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata semasa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat menunaikan haji baru-baru ini, Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al- Saud dan Perdana Menteri Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud memaklumkan bahawa negara itu bersetuju untuk jadikan Malaysia sebagai pusat pelaburan terbesar Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Ini semua bukan sebab Anwar Ibrahim, tetapi kerana kerjasama Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Sabah serta Sarawak. Mereka tahu kerajaan kita sekarang ini stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkongsi perasaan terhutang budinya pada dua tokoh pemimpin politik Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Fadzil Noor.

“Saya tidak pernah melupakan jasa Tuan Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Noor. Mereka menunjukkan contoh terbaik sebagai orang Islam yang membela nasib rakyat dan kasih pada semua orang dan bukannya seperti pemimpin pembangkang ketika ini yang suka menghina orang lain,” katanya.