- Iklan -
Berita

‘Tawaran Zahid’ sukarkan lagi peluang BN di Terengganu

Pengundi membandingkan tawarannya dengan petisyen pilihan raya Barisan Nasional yang mengakibatkan kemenangan PAS di Kuala Terengganu terbatal.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan penyokong pada majlis pelancaran jentera pilihan raya di Kuala Terengganu, 28 Julai. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan penyokong pada majlis pelancaran jentera pilihan raya di Kuala Terengganu, 28 Julai. Gambar: Bernama

Tiga bulan lalu pengundi di Terengganu dikejutkan dengan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan PAS di kerusi Kuala Terengganu.

Ia susulan petisyen yang difailkan Barisan Nasional (BN) atas alasan ada unsur sogokan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November.

Namun pengundi di negeri Pantai Timur itu sekali lagi dikejutkan dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan peruntukan kepada tiga persatuan belia di Terengganu di sebuah majlis di Kemaman baru-baru ini.

Zahid meletakkan syarat pengundi mesti memilih BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Bagi rata-rata pengundi menganggap tindakan Zahid itu terang-terangan merupakan satu bentuk rasuah atau sogokan.

Malah mereka turut mempersoalkan apa perbezaan antara kes petisyen di Kuala Terengganu dengan tindakan Zahid yang mengumumkan peruntukan kepada persatuan belia.

Antaranya, ialah seorang peniaga, Shukri Razak, 45 yang mengatakan rakyat melihat perkara itu tidak adil dan sudah tentu sangat mengelirukan mereka.

“Apa yang kita persoalkan apa beza kes Zahid dengan kes pembatalan kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Sebab itu kita tertanya-tanya.

“Kenapa bila Zahid umum peruntukan dengan syarat minta sokongan BN tidak dikatakan rasuah dan kenapa pula di Kuala Terengganu PAS yang bersalah sedangkan itu merupakan program bantuan kerajaan negeri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut peniaga itu, ketidakadilan itu mengundang kemarahan daripada rata-rata penduduk yang tidak sabar menolak BN pada PRN kali ini.

“Bagi saya BN tidak berubah, masih lagi dengan perangai lama yang suka memberi rasuah dan menghalalkannya apabila mereka yang buat, tapi kalau orang lain cepat sahaja tuding jari.”

Menurut Shukri ini antara sebab rakyat menolak BN semasa PRU14 kerana sering terpalit dengan skandal rasuah yang merencatkan pembangunan negara.

“Kita tengok selama BN mentadbir berapa banyak projek bermasalah, jadi projek gajah putih. Contoh projek Taman Ilmu, Pulau Bebas Cukai Tasik Kenyir.

“Itu semua berlaku kerana begitu banyak penyelewengan, amalan rasuah yang dilakukan BN menyebabkan rakyat sudah muak dan menolak parti itu,” katanya.

Kenyataan Zahid rasuah yang jelas

Seorang lagi peniaga, Hazimah Manan, 37, yang berkata ia berkaitan dengan isu moral dan layanan berbeza antara kerajaan dan pembangkang.

Peniaga di Pasar Payang itu merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menolak tindakan itu sebagai perbuatan sogokan meraih sokongan pengundi.

“Saya nak tanya adakah sebab Zahid itu dari kerajaan maka dibolehkan dan PAS pula dari pembangkang, kita rakyat memang boleh nampak sangat ketidakadilan di situ.

“Biarpun mereka kata tidak jadi sogokan sebab dibuat sebelum hari penamaan calon, tapi mana moralnya. 

“Kenyataan Zahid itu jelas minta sokongan, kalau bukan rasuah saya tak tahulah itu apa,” kata wanita itu yang tidak berselindung akan mengundi PAS dalam PRN kali ini.

Kenyataan Zahid berhubung peruntukan lebih setengah juta ringgit di Terengganu mencetuskan kontroversi apabila pemimpin yang terpalit dengan 47 pertuduhan rasuah itu dilihat secara terbuka cuba melakukan sogokan pilihan raya.

Zahid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, mengumumkan peruntukan sehari sebelum hari penamaan calon bagi PRN.

Dalam ucapannya, beliau memberi peruntukan itu kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Belia Terengganu (MBM) dan persatuan permotoran di Terengganu.

“Untuk itu kalau tadi Belia Ketengah beri peruntukan RM30,000, saya tambah lagi RM70,000 jadi RM100,000.

“Dan untuk Majlis Belia Terengganu saya tambah lagi RM250,000. Untuk pasukan motosikal Terengganu saya beri peruntukan sebanyak RM250,000.

“Itu baru saya lepas ni perdana menteri (Anwar Ibrahim) akan tambah, Insya-Allah. Asalkan pada 12 Ogos para belia ikut golongan merah dan biru yang ada di Terengganu,” kata Zahid dalam majlis itu.

Tindakan Zahid itu dikecam pelbagai pihak termasuk badan pemantau pilihan raya Bersih yang menegaskan Zahid melanggar dua daripada tiga larangan 3C iaitu No Condition (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon).

3C merupakan garis panduan yang dikeluarkan Bersih agar kerajaan tidak menyalahgunakan kedudukan ketika berkempen.

Bagaimanapun SPRM memberi kenyataan berbeza, menegaskan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh Kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir negara, ia berhak untuk memberi insentif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

Sementara itu, calon PAS bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata perdana menteri sepatutnya dilihat adil terhadap semua pihak.

Ahmad turut membandingkan keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kuala Terengganu sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan dengan tindakan Zahid.

“Apa bezanya kenapa boleh berlaku layanan berat sebelah, kalau kerajaan di bawah Anwar semua boleh buat, kalau pembangkang tak boleh.

“Dalam soal berkaitan penawaran wang dengan syarat mengundi itu adalah rasuah, dan peguam pun banyak beri ulasan tapi jawapan kerajaan kata tiada rasuah,” katanya.

Pada masa sama beliau mengakui keputusan mahkamah itu menyebabkan beliau berdepan dengan kesukaran untuk berkempen kerana bimbang perkara sama akan berulang.

Bahkan katanya, terpaksa memberi kefahaman kepada pengundi berhubung kes petisyen dalam setiap ceramah kempennya.

“Sebab pengundi mereka keliru dengan kes mahkamah itu mereka terkejut bila saya boleh dicalonkan semula, sedangkan bukan saya yang disabitkan bersalah.

“Tapi saya menerima kesan dari keputusan itu, biarpun saya dicalonkan semula saya berdepan dengan banyak cabaran dan perlu lebih berhati- hati, sebab itu saya kata keadaan itu sangat tidak adil untuk saya," katanya.

Namun beliau yakin pengundi di kerusi tersebut boleh menilai pihak mana yang benar.

“Pengundi saya hanya keliru mengenai penghakiman petisyen tersebut tapi tidak pada pilihan mereka.

“Saya yakin PAS akan memperoleh kemenangan lebih berganda daripada PRU15,” katanya.