- Iklan -
Berita

'Amat jahat', MB Terengganu bidas kempen Hannah Yeoh kerana ‘mengugut’

Ahmad Samsuri Mokhtar memberi respons kepada klip tular ahli Parlimen Segambut itu yang memberi amaran kepada penyokong PH di Selangor tentang akibat buruk jika tidak menyokong gabungan tersebut pada PRN akan datang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Hannah Yeoh dari DAP dilihat dalam tangkap layar klip video tular yang ditujukan kepada sekumpulan penonton, memberi amaran kepada mereka tentang masa depan anak-anak mereka jika mereka memilih untuk tidak menyokong Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.
Hannah Yeoh dari DAP dilihat dalam tangkap layar klip video tular yang ditujukan kepada sekumpulan penonton, memberi amaran kepada mereka tentang masa depan anak-anak mereka jika mereka memilih untuk tidak menyokong Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.

PAS membidas Hannah Yeoh dari DAP berhubung amarannya kepada hadirin bukan Melayu bahawa sebarang keputusan untuk tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang adalah menghukum diri mereka sendiri. 

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar merujuk kepada klip tular ucapan Yeoh, di mana beliau memberi amaran kepada pengundi di Selangor supaya tidak "menghukum" PH.

“Kamu tidak menghukum Pakatan Harapan, kamu menghukum diri kamu sendiri jika kamu memilih untuk menyingkirkan menteri besar dari PKR yang anda ada hari ini dan menukarnya kepada menteri besar PAS.

“Kamu tidak menghukum saya, kamu menghukum cucu dan anak kamu di Selangor.

“Kita hanya tiga ada negeri, mereka tidak rugi. Kita yang akan rugi semuanya jika hilang tiga negeri ini. Jadi kita mesti selamatkan tiga negeri ini. Kamu mesti keluar sebagai pembela untuk mempertahankan negeri bernilai ini dengan rizab dan sumber bernilai untuk kegunaan kecemasan,” Yeoh memberitahu dalam satu ceramah kempen.

Sambil menyifatkan ucapannya sebagai "amat jahat", Samsuri berkata gambaran Yeoh tentang pesaing politik PH adalah ancaman kepada keharmonian kaum.

“Kempen sebegini mengulangi sekali lagi kempen politik tidak sihat yang telah dibuat oleh Lim Guan Eng yang mengatakan sekiranya gelombang hijau menang, maka akan dirobohkan kuil-kuil,” katanya, merujuk kepada ucapan kontroversi Lim di Pulau Pinang bulan lalu, yang mana pengerusi DAP itu di siasat kerana menghasut.

Polis masih belum mengumumkan sama ada pertuduhan akan dikenakan terhadap Lim lebih sebulan sejak siasatan itu dibuka.

Samsuri berkata peraturan yang sama harus dikenakan kepada semua orang "sama ada anda kerajaan yang memerintah atau pembangkang".

“Saya mengambil kesempatan pada hari ini, mengajak dan menasihati para pemimpin politik untuk tidak menggunakan kempen politik ugut sebegini, berkempenlah secara sihat dan matang dalam memastikan keharmonian kaum dapat dijaga. 

“Saya juga berharap rakyat Malaysia tidak termakan dengan politik sebegini yang sudah pasti merendah-rendahkan intelektual rakyat dan tidak madani. Budaya politik kuno sebegini wajar dinoktahkan,” tambahnya.