- Iklan -
Berita

Hannah Yeoh pertahan guna aset kerajaan hadiri bicara saman fitnah terhadap pensyarah

Menteri belia dan sukan itu berkata tuduhan mengenai beliau ada kaitan dengan tugasnya.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, ditemani seorang pengawal peribadi, ketika menghadiri perbicaraan fitnahnya terhadap seorang pensyarah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, ditemani seorang pengawal peribadi, ketika menghadiri perbicaraan fitnahnya terhadap seorang pensyarah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mempertahankan penggunaan kemudahan kerajaan seperti kereta rasmi dan pengawal peribadi ketika menghadiri perbicaraan kes fitnahnya terhadap seorang pensyarah universiti, susulan kritikan yang menuduh beliau lebih mementingkan hal peribadi berbanding tugas rasmi di kementeriannya.

Ia selepas saluran Telegram Edisi Siasat melaporkan bahawa Yeoh didapati tidak berada di pejabat kementeriannya kerana sibuk menghadiri perbicaraan kes samannya terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff, yang bermula pada 25 November tahun lepas.

Saluran pemberi maklumat popular itu turut menyiarkan gambar kenderaan rasmi Yeoh tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, di samping gambar menunjukkan beliau sedang memerhatikan perbicaraan dalam bilik mahkamah.

"Walaupun beliau sendiri tidak terlibat dalam perbicaraan dan hanya saksi-saksinya atau saksi-saksi Dr Kamarul yang memberi keterangan tetapi beliau tetap fikir perbicaraan peribadinya jauh lebih penting daripada urusan pentadbiran negara," menurut catatan itu.

Pemimpin DAP itu bagaimanapun menolak kritikan itu, dan berkata saman fitnahnya ada kaitan dengan tugasnya sebagai menteri.

"Ke mana sahaja kami pergi, ini merupakan kemudahan kerajaan yang bersama kami. Ia bukan untuk kegunaan parti, dan semua tuduhan (oleh Kamarul) juga melibatkan tugas saya," Yeoh memberitahu MalaysiaNow ketika ditemui di mahkamah sejurus tiba menaiki sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam ditemani pengawal peribadi rasmi.

Hantaran tular di saluran Telegram Edisi Siasat yang mengkritik Hannah Yeoh.
Hantaran tular di saluran Telegram Edisi Siasat yang mengkritik Hannah Yeoh.

Beliau menafikan dakwaan menyalahgunakan aset kerajaan, sambil menambah bahawa kerjanya "langsung tidak terganggu".

"Itu tidak menjadi isu. Boleh keluar masuk mahkamah dan masih dapat hadir mesyuarat dan temu janji, dan saya masih ke Parlimen," katanya.

Yeoh memfailkan saman fitnah terhadap Kamarul atas dua hantaran Facebook yang dimuat naik pada 2017, di mana ahli Parlimen DAP itu dituduh cuba menyebarkan ajaran Kristian melalui kerjaya politiknya.

Kamarul turut merujuk buku "Becoming Hannah: A Personal Journey" karangan Yeoh, yang kandungannya mencetuskan perdebatan di media sosial selepas Yeoh tewas dalam satu lagi kes saman fitnah terhadap bekas ketua polis negara, Musa Hassan.

Yeoh sebelum ini terpalit dengan kontroversi membabitkan kontrak kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan yang dianugerahkan kepada syarikat suaminya tanpa melalui proses tender terbuka.

Pada Mei tahun lalu, Yeoh, yang mengiringi atlet Malaysia di Sukan Olimpik Paris, sekali lagi menjadi sasaran rakyat Malaysia apabila memuat naik hantaran gambar sambil memuji jaguh badminton Thailand Kunlavut Vitidsarn, yang menewaskan bintang badminton Malaysia Lee Zii Jia.

hannahyeoh_Kunlavut"Saya sangat menyukai gaya badmintonnya. Sangat tenang dan tenteram. Saya kini peminat baharunya!" tulisnya dalam catatan Instagram.

Pengguna media sosial bagaimanapun berkata ia menunjukkan Yeoh "tone deaf" "buda nada" dan tidak faham tugas beliau mengiringi kontinjen negara.

"Atlet kamu yang berjuang untuk negara baru sahaja meluahkan bagaimana kekalahan itu menghancurkan hatinya dan ini kamu meraikan pula lelaki yang menghancurkan impiannya. Kamu memang seorang menteri sukan yang cemerlang. Tak akan undi lagi orang ini," tulis pengguna Instagram @aijklmnop123, di antara ratusan komen yang mengkritik Yeoh.

Tahun lalu, Yeoh menyerang sebuah syarikat kerusi urut kerana menaja episod podcast "Keluar Sekejap" dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, di mana bekas ahli Umno itu mengkritik Yeoh kerana gagal mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris.

"Kerusi urut anda kini dilihat sebagai tempat yang sesuai untuk pengkritik yang hanya pandai bercakap atas bangku," tulisnya dalam catatan Instagram ditujukan kepada jenama Gintell, sambil menambah, "Saya ingin mendengar jawapan anda."

Ia disusuli dengan jawapan balas Shahril kepada Yeoh:

"Jika anda benar-benar ada masalah dengan ulasan yang agak lembut tentang anda (anda seharusnya lihat apa yang orang lain katakan di tempat lain), mungkin jawab saja komen tersebut secara substantif."