- Iklan -
Berita

Kumpulan pendidikan puji PM, kecam pelajar tak ikut ‘etika tanya soalan’

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan juga mempertahankan pendirian Anwar Ibrahim untuk menolak meritokrasi walaupun ia diperjuangkan mereka sebelum ini.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Noor Azimah Abd Rahim (kanan) mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ekoran kritikan terhadap beliau mengendalikan soalan yang dikemukakan seorang pelajar (kiri) semasa sesi dialog di Pulau Pinang pada 5 Ogos.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Noor Azimah Abd Rahim (kanan) mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ekoran kritikan terhadap beliau mengendalikan soalan yang dikemukakan seorang pelajar (kiri) semasa sesi dialog di Pulau Pinang pada 5 Ogos.

Kumpulan yang mendakwa memperjuangkan pendidikan progresif di Malaysia melemparkan kritikan terhadap pelajar yang menanyakan soalan mengenai sistem meritokrasi ketika sesi dialog bersama Anwar Ibrahim yang menyaksikan perdana menteri menghalangnya daripada memberi penjelasan lanjut.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), yang menyifatkannya sebagai badan pemerhati pendidikan untuk "mewakili suara ibu bapa" berkata pelajar itu sepatutnya memastikan soalannya ringkas, di samping mempertahankan jawapan Anwar.

“Sepatutnya etika menanya soalan dituruti, soalannya perlu ringkas, tidak perlukan komentari yang mengambil masa yang berpanjangan untuk mencapai maksudnya,” Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abd Rahim ketika dihubungi MalaysiaNow mengenai insiden itu.

Noor Azimah juga tidak bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan kepada Anwar mengenai cara beliau menangani soalan itu apabila dilihat mengganggunya beberapa kali, walaupun sebelum ini dia meminta supaya diberi sedikit masa untuk menjelaskan mengapa dia menyentuh topik yang dianggap sensitif.

“Nampaknya PM bukan bermaksud untuk hilang sabar dan kesian juga pelajar ini,” tambah Azimah.

Pelajar wanita India itu adalah antara hadirin yang menghadiri sesi bersama perdana menteri di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas pada 5 Ogos, sebahagian daripada siri pertemuan Anwar dengan pengundi muda menjelang pilihan raya negeri minggu ini. 

Semasa sesi soal jawab itu, pelajar tersebut bertanyakan sama ada kerajaan akan menghapuskan sistem kuota yang memihak kepada golongan Bumiputera dan menggantikannya dengan sistem meritokrasi.

Pelajar tersebut juga meminta diberi sedikit masa untuk menerangkan supaya soalannya tidak disalah tafsir. 

"Sebelum saya bertanya soalan saya, saya ingin menyatakan bahawa saya ingin mengambil masa satu hingga minit untuk bertanyakan soalan dan juga memberi sedikit penjelasan, supaya ia tidak disalah tafsirkan.”

Anwar bagaimanapun menghentikan pertanyaan tersebut sebelum dia cuba menjelaskan, dengan pelajar itu dilihat tergamam pada satu ketika.

Insiden itu mencetuskan gelombang simpati terhadap pelajar itu, dengan ramai yang mengecam Anwar kerana tidak memberinya peluang untuk memberi penjelasan.

Anwar juga dikritik kerana memberikan jawapan politik kepada soalannya dengan mengatakan bahawa kerajaannya akan kalah dalam semua pilihan raya jika menghapuskan sistem kuota yang memihak kepada pelajar Bumiputera.

Pada satu ketika, beliau menuduh pelajar berkenaan tidak mengambil berat tentang orang Melayu miskin, sambil menghentikan cubaannya untuk memberi penjelasan.

Azimah, yang merupakan penyokong kuat Program Dual Language yang membenarkan pelajar memilih untuk menggunakan Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, bagaimanapun menyokong pendirian Anwar untuk tidak melaksanakan meritokrasi.

“Kami berpendapat yang PM memberi jawapan yang ikhlas dan adil, terutamanya untuk kita renungkan dan fikirkan tentang keadilan meritokrasi untuk mereka yang di bawah yang perlukan lebih peluang,” tambahnya.

Pada 2013, Azimah antara yang mengkritik pertimbangan perkauman dalam pengambilan pelajar ke universiti awam, berikutan kontroversi yang dicetuskan oleh peruntukan kuota kemasukan pelajar pada tahun itu. 

Ketika itu didedahkan, hanya 19% tempat diberikan kepada pelajar Cina dan 4% kepada pelajar India, manakala pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan gagal mendapat tempat dalam kursus pilihan mereka.

Pendedahan itu mendorong rakan kongsi Barisan Nasional, MIC untuk menggambarkan situasi itu sebagai "pengambilan universiti awam paling tidak adil dan berat sebelah dalam sejarah Malaysia".

Parti berasaskan kaum India itu juga berkata kira-kira 3,000 orang pelajar India sepatutnya diberikan tempat di universiti awam, tetapi hanya separuh daripada mereka diberi tempat.

Azimah ketika itu menggesa supaya pelaksanaan sistem meritokrasi diutamakan.

“Apa yang penting ialah meritokrasi perlu diutamakan kerana kerja keras perlu diberi ganjaran. Pelajar dengan [GPA] 4.0 sepatutnya boleh mendapatkan apa yang mereka mahu – ia adalah skor yang sempurna.

"Sesuatu yang pasti perlu dilakukan mengenai perkara ini," katanya dilaporkan sebagai berkata.