- Iklan -
Berita

KPM akan berusaha pastikan sekolah khas golongan miskin dibuka tahun depan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia bertujuan untuk meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga miskin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang guru bersalaman dengan muridnya pada hari pertama persekolahan di SK Petra Jaya di Kuching, Sarawak, 20 Mac. Gambar: Bernama
Seorang guru bersalaman dengan muridnya pada hari pertama persekolahan di SK Petra Jaya di Kuching, Sarawak, 20 Mac. Gambar: Bernama

Kementerian Pendidikan (KPM) akan berusaha sedaya upaya memastikan sekolah khas untuk pelajar daripada golongan miskin dapat dibuka dan beroperasi pada tahun depan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata kemudahan memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak miskin di negara ini sememangnya sentiasa dalam perancangan kementeriannya. 

“Kita akan maklumkan sedikit masa lagi, untuk kita pastikan sekolah (khas) ini telah benar-benar siap untuk ia beroperasi khusus untuk anak-anak miskin kita, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar semalam.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berhasrat memperkenalkan sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata operasi sekolah khas itu antara lain akan mempunyai hala tuju serta mekanisme yang jelas dalam usaha memastikan pelaksanaan ia benar-benar berjaya bagi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak golongan miskin.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini terdapat 17 SDH yang sedang beroperasi di 11 negeri termasuk di HSB, Kedah serta Hospital Tuanku Fauziah (Perlis) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Program SDH kini antara yang sedang diberikan penekanan oleh KPM.

“Kita akan kembangkan lagi (Program SDH), sebab itu saya sudah maklumkan kepada Datuk (Ketua) Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan perbincangan saya dengan Menteri Kesihatan, untuk kita terus teroka hospital-hospital lain, sebab isunya ialah ruang, kita pun tak nak ganggu perjalanan hospital.

“Ruang (Program SDH) ini sangat penting khususnya apabila kita bercakap tentang akses pendidikan kepada anak-anak kita, dan tidak terkecuali di hospital,” katanya yang turut memberitahu pembelajaran melalui Program SDH itu fleksibel dalam persekitaran kondusif.

Fadhlina berkata guru-guru dari KPM yang bertugas untuk sesi pembelajaran bagi program SDH itu adalah terlatih dalam hal mengendalikan pelajar yang sedang menjalani rawatan di hospital.