- Iklan -
Berita

PN tawar pakej rangsangan lebih RM2 bilion pulih ekonomi Selangor

Bantuan tunai RM400 untuk 65,000 keluarga dan pengecualian bayaran parkir antara tawaran menarik jika Perikatan Nasional tawan negeri itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap semasa pengumuman pakej rangsangan PN di Shah Alam, 4 Ogos.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap semasa pengumuman pakej rangsangan PN di Shah Alam, 4 Ogos.

Yakin sokongan orang ramai semakin memihak kepada Perikatan Nasional (PN) di Selangor, pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej rangsangan lebih RM2 bilion untuk ekonomi negeri jika berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya 12 Ogos ini.

Muhyiddin berkata, pakej itu bagi menangani tekanan kos sara hidup dan keadaan ekonomi yang suram, yang disifatkan beliau merupakan hasil ketidakcekapan kerajaan negeri dan pusat yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Angin perubahan sedang bertiup kencang di negeri Selangor ini, dan mudah-mudahan ia akan membentuk satu gelombang besar iaitu sokongan rakyat yang kuat dan padu kepada Perikatan Nasional.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor itu, PN menawarkan tujuh tunjang dengan 112 tawaran kepada pengundi-pengundi di negeri terkaya Malaysia itu. 

Antara tawaran yang menarik ialah Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dengan peruntukan RM312 juta setahun.

"Inisiatif ini dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas," katanya semasa menyampaikan tawaran PN di Shah Alam, Selangor malam ini.

Tawaran itu antara lain mengecualikan bayaran parkir di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan di Selangor Utara.

Pengecualian lain termasuk lesen perniagaan untuk penjaja, gerai dan pasar dan bayaran sewa tapak peniaga perniagaan milik PBT untuk penjaja yang berdaftar. 

PN turut menawarkan elaun khas tahunan sekurang-kurangnya dua bulan gaji untuk anggota perkhidmatan awam di negeri Selangor.

Golongan ibu turut tidak ketinggalan apabila PN menjanjikan geran RM10,000 untuk 30,000 perniagaan milik usahawan wanita.

"Membina 20 Selangor Child Care Centre setahun yang dilengkapi kemudahan moden dan tenaga pengajar profesional.

"Memperuntukkan dana khas berjumlah RM50 juta kepada agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta bagi membuka pusat asuhan baharu di tempat kerja," katanya.

Isu air antara perkara yang menjadi modal politik oleh kerana tawaran air percuma yang pernah menjadi polemik sebelum ini.

Justeru, Muhyiddin mengumumkan inisiatif 20 meter padu air percuma akan diperluaskan kepada pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah.

"Menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM200 juta untuk mengatasi masalah paip pecah dan melaksanakan program penggantian paip-paip lama di 100 kawasan hotspot."