- Iklan -
Berita

Suspek baling batu di Ibu Pejabat PAS didapati positif dadah, kata polis

Ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Polis berkata lelaki berusia 36 tahun yang memecahkan panel kaca bangunan ibu pejabat PAS berada di bawah pengaruh dadah. Gambar: Facebook
Polis berkata lelaki berusia 36 tahun yang memecahkan panel kaca bangunan ibu pejabat PAS berada di bawah pengaruh dadah. Gambar: Facebook

Polis mengesahkan lelaki yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kejadian khianat di Ibu Pejabat PAS Pusat, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur berada di bawah pengaruh dadah. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata saringan yang dijalankan semasa tangkapan di Jalan Lorong Haji Taib 1, Chow Kit di Kuala Lumpur, mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.  

"Apabila ditanya kenapa suspek berbuat demikian, kita pun tidak tahu sama ada dia dalam keadaan sedar atau tidak mengatakan dia tidak suka PAS dan disebabkan keadaannya itu dia bertindak membaling batu itu.

Kami reman suspek hari ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Semalam, polis menahan seorang lelaki berumur 36 tahun yang disyaki terlibat membaling batu ke arah Ibu Pejabat PAS Pusat Sabtu lepas, sehingga mengakibatkan dinding kaca pejabat itu pecah. 

Penganggur yang ditahan di Lorong Tiong Nam, Chow Kit pada pukul 10 malam itu mempunyai 16 rekod jenayah termasuk sembilan rekod kesalahan dadah.

Sabtu lepas, PAS membuat laporan polis selepas dinding kaca di Ibu Pejabat PAS Pusat dibaling dengan batu oleh seorang lelaki, beberapa jam sebelum bermula proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki warga Taiwan yang disyaki terlibat dalam sindiket dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM572,000 dalam Operasi Khas di Cheras, Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor pada 27 Julai lepas.

Siasatan polis mendapati lelaki berusia 31 tahun yang ditahan di sebuah pangsapuri di Cheras itu masuk ke Malaysia sejak tahun 2016 dengan menggunakan pas pelancong dan dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada Februari lepas setelah menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah.

Mohd Shuhaily berkata susulan penahanan itu polis menyerbu sebuah rumah kedai di Kajang yang dipercayai dijadikan stor menyimpan dadah dan menemui dadah jenis  Erimin 5 (5.6 kilogram); methamphetamine (0.33kg); ekstasi (3.2kg); MDMA (0.6 kg) dan ibu heroin (0.7kg) serta sepucuk senjata api jenama Glock dan 30 butir peluru hidup. 

Lelaki yang ditahan itu didapati positif dadah jenis methamphetamine itu dan polis menjumpai 10 biji pil dipercayai dadah jenis Erimin 5 pada lelaki yang merupakan orang suruhan kepada seorang lelaki warga tempatan yang masih dicari oleh polis, katanya.