- Iklan -
Berita

Pengumuman Zahid di Terengganu tiada kaitan dengan PRN, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata jika peruntukan itu penting, kerajaan akan mengumumkannya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung peruntukan kepada golongan belia di Terengganu tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata pengumuman itu dibuat sebelum hari penamaan calon semalam.

“Ada orang cadang jangan buat pengumuman langsung mengenai peruntukan itu, ini tidak boleh kerana saya adalah perdana menteri, perlu jaga negara dan semuanya. Kalau penting, maka kita umum.

“Tetapi saya sudah memberitahu tidak boleh guna jentera negeri dan tidak boleh khusus dijadikan kempen pada PRN ini mulai semalam hingga hari pengundian. Itu adalah keputusan Jemaah Menteri,” katanya kepada pemberita seperti dipetik Bernama di Kuala Lumpur semalam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyifatkan pengumuman yang dibuat Zahid itu bukan satu bentuk rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi itu melihat geran tersebut adalah sebagai peruntukan Persekutuan.

"Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

"Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan. Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah.”

Berucap di Terengganu pada 28 Julai, Zahid yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk sebuah pertubuhan belia, yang akan disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada persatuan penunggang motor, sambil menambah bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian akan "menambah" jumlah itu. 

Zahid ketika itu berkata peruntukan tambahan itu adalah dengan syarat bahawa golongan belia di Terengganu akan menyokong "gelombang biru dan merah", merujuk kepada gabungan BH-PN.

Pengumuman Zahid dibuat sehari selepas Anwar sendiri mengumumkan pemberian RM100 dalam bentuk kredit e-tunai kepada kira-kira 10 juta rakyat Malaysia dewasa.