- Iklan -
Berita

Bersih hipokrit, Anwar terdesak, kata peguam

Rafique Rashid berkata pemberian bantuan adalah satu inisiatif yang patut dipuji tetapi mempersoalkan waktu pengumuman yang dibuat perdana menteri.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan pada perhimpunan Bersih dengan poster yang menyindir kerajaan sebelum ini kerana memberi wang bagi meraih undi. Gambar: Facebook
Penunjuk perasaan pada perhimpunan Bersih dengan poster yang menyindir kerajaan sebelum ini kerana memberi wang bagi meraih undi. Gambar: Facebook

Seorang peguam menyelar kenyataan sebuah badan pemantau pilihan raya yang mengatakan pemberian wang tunai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak menyalahi garis panduan sewaktu musim pilihan raya.

Rafique Rashid berkata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini jelas memperjuangkan proses pilihan raya yang adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak terutamanya soal pemberian segala bentuk insentif pra-pilihan raya oleh kerajaan.

Bahkan, katanya, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh pentadbiran perdana menteri sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob menerima kritikan hebat daripada Bersih 2.0 walaupun bantuan itu sudah pun dinyatakan tujuannya bagi persiapan keluarga B40 berdepan musim tengkujuh dan kemungkinan musim banjir.

"Lupakan Bersih. Apakah perbezaan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Madani?” soal Rafique kepada MalaysiaNow.

"Bukankan ianya terlalu hampir dengan pilihan raya enam negeri yang dikatakan sebagai referendum kepada pentadbiran kerajaan Madani?"

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann yang mengatakan bantuan wang tunai seperti yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjumlah RM1 bilion kepada rakyat tidak melanggar apa-apa garis panduan yang dicadangkan oleh pihaknya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Fann berkata garis panduan itu dikemukakan kerana jelas kerajaan negeri adalah “kerajaan sementara” dan tidak boleh menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen atau membuat apa-apa pengumuman berkaitan peruntukan.

“Tetapi kelakuan kerajaan Persekutuan yang bukan dalam mod kerajaan sementara adalah tidak jelas,” tambahnya. 

Bersih dalam catatan Facebook kemudian berkata bahawa penilaian terhadap cara pemberian kerajaan menunjukkan bahawa tiada satu pun unsur "3C" – tiada syarat, tiada kempen dan tiada calon – dilanggar.

“Sebaliknya, kerajaan Ismail Sabri berada dalam mod sementara semasa PRU15 apabila beliau mengumumkan peruntukan dan menggunakan Bajet 2023 yang tidak diluluskan dalam kempennya.

"Memandangkan kita memasuki era baru di mana pilihan raya Persekutuan dan negeri dipisahkan, kita memerlukan garis panduan baharu dan lebih jelas untuk memastikan kerajaan tidak menyalahgunakan kelebihan penyandang mereka. 

“Dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, masa peruntukan Persekutuan amat dikesali kerana ia boleh dan akan berlaku. Mudah ditafsirkan sebagai cubaan untuk memancing undi menggunakan wang pembayar cukai. 

"Bagaimanapun, kami tidak fikir ia melanggar 3C kami atau mana-mana undang-undang," katanya.

Mengulas lanjut, Rafique menegaskan Bersih 2.0 yang selama ini memperjuangkan soal keadilan dan ketelusan dalam sistem pilihan raya juga terperangkap dalam isu yang sama yang turut menghantui kerajaan campuran pimpinan Anwar.

"Iaitu Bersih pun macam kerajaan Madani, hipokrit."

Apa masalah dengan pengumuman PM?

Pada Khamis, Anwar mengumumkan pemberian wang berjumlah RM100 kepada lebih 10 juta rakyat yang akan dikreditkan dalam e-dompet mereka.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas sebanyak RM300 kepada penjawat awam dan penghargaan khas kepada pesara kerajaan sebanyak RM200.

Bercakap lebih lanjut, Rafique melihat Anwar seperti dalam keadaan terdesak sehingga berbuat pengumuman sedemikian yang lazimnya dilakukan pada pembentangan belanjawan tahunan negara.

Katanya lagi, pengumuman sepanjang 40 muka surat dengan 113 perenggan itu juga mahu dilaksanakan dalam kadar masa yang terburu-buru.

"Selama lapan bulan hampir tiada apa-apa, secara magis timbul bantuan serta idea.

"Maka kita perlu betul-betul teliti. Apa yang diperkatakan sebagai Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat ini?"

Beliau turut menarik perhatian menyebut penerima-penerima bantuan "mengejut " itu majoritinya terdiri daripada para pengundi yang bakal menjalankan tanggungjawab memilih kerajaan di enam buah negeri pada 12 Ogos ini.

Menurut Rafique, menyalurkan bantuan kepada rakyat bukan satu kesalahan sebaliknya satu perbuatan yang baik dan perlu dipuji.

Bagaimanapun, kini menjadi satu persoalan, mengapa ianya diumumkan sekarang di mana bukannya musim perayaan, sesi persekolahan tahun baru bahkan bukan waktu darurat seperti pandemik Covid-19.

"Ini musim PRN. Ini musim kempen. Maka ini juga musim pancing undi dan nampaknya umpan ditabur tanpa segan silu tanpa tata kelola demi wewenang."

Katanya, pasti ramai pihak akan mengatakan bantuan itu disusuli berdasarkan keadaan ekonomi semasa yang mencabar dan ianya sedikit sebanyak boleh membantu urusan harian rakyat kebanyakan.

"Ya, setuju. Tetapi mengapa sekarang?

"Mengapa diambang PRN enam negeri yang kita semua maklum adalah referendum atau 'litmus test' kerajaan campuran pasca PRU-15?" katanya.