- Iklan -
Berita

Azmin sedia berdebat dengan Rafizi

Bekas menteri hal ehwal ekonomi itu meletakkan syarat bahawa Rafizi Ramli mesti membuktikan beliau telah melaksanakan dasar pemulihan ekonomi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangpr Mohamed Azmin Ali bersedia untuk berdebat dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dengan satu syarat. 

Menurut Azmin, syarat tersebut adalah Rafizi terlebih dahulu perlu membuktikan beliau sudah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara. 

"Pertama, turunkan harga minyak terlebih dahulu, betul?

"Bukan saya yang janji kamu yang janji. Hari ini saya jadi perdana menteri, esok minyak turun.

"Dah turun belum? Kalau belum turun, turunkan dulu baru jumpa aku," katanya dipetik ketika berucap dalam Majlis Pengenalan calon-calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen Gombak, malam tadi.

Beliau yang juga bekas menteri ekonomi berkata demikian bagi mengulas cabaran Rafizi untuk berdebat mengenai ekonomi Malaysia.

Sehingga kini, stesen televisyen tempatan Astro Awani menyatakan kesediaan untuk menganjur dan menerbitkan sesi debat tersebut secara langsung sekiranya kedua-dua pihak bersetuju. 

Mengulas lanjut, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor menegaskan beliau mempunyai bukti dengan rekod pelbagai inisiatif l dilaksanakan semasa mentadbir negeri itu sebagai menteri besar.

Antaranya elaun khas bayaran berjumlah tiga bulan gaji kepada pegawai-pegawai kerajaan, air percuma oleh kerajaan negeri dan bermacam lagi inisiatif perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Selangor. 

Bahkan, katanya, ketika pentadbiran beliau di Selangor, dua loji rawatan air yang menelan kos sebanyak RM800 juta tanpa sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan dibangunkan.

"Saya gunakan duit kerajaan negeri RM800 juta dan rizab masih RM4 bilion," katanya.

Atas sebab itu, Azmin sekali menegaskan bukan pihaknya tidak mahu menerima cabaran berdebat tetapi menjadi satu kerja yang sia-sia sekiranya debat itu tidak diisi dengan fakta dan rekod yang jelas. 

"Kalau saya pergi berdebat dalam keadaan dia belum ada formula, belum ada penyelesaian, engkau (Rafizi) nak debat dengan aku buat apa?" katanya.