- Iklan -
Berita

UUM buat pusingan U selepas bantahan adakan peperiksaan pada hari mengundi

Bantahan tersebut dibuat selepas pihak universiti merancang untuk meneruskan peperiksaan yang menafikan hak pelajar untuk mengundi pada 12 Ogos.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Universiti Utara Malaysia mendapat kecaman kerana menarik balik keputusannya untuk menangguhkan peperiksaan akhir bagi pelajar untuk membenarkan pelajar pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri bulan depan. Gambar: Bernama
Universiti Utara Malaysia mendapat kecaman kerana menarik balik keputusannya untuk menangguhkan peperiksaan akhir bagi pelajar untuk membenarkan pelajar pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri bulan depan. Gambar: Bernama

Sebuah universiti awam di Kedah terpaksa membuat pusingan U selepas ia menarik balik keputusan awal untuk menangguhkan peperiksaan akhir selama beberapa hari bagi membolehkan pelajar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, MalaysiaNow diberitahu. 

Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah menjadualkan peperiksaan akhir dari 31 Julai hingga 20 Ogos, bersetuju memberikan pelepasan kepada pelajar pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRN enam negeri, susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai hari pengundian pada 12 Ogos.

"Universiti telah bersetuju untuk memberikan pelepasan kepada pelajar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi selama tiga hari bermula daripada 11 hingga 13 Ogos 2023," tulis notis bertarikh 10 Julai itu seperti yang sedang tersebar di media sosial.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas notis pertama dikeluarkan, Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (HEA) UUM tampil dengan notis kedua menarik balik pindaan tarikh tersebut.  

"Tarikh dan jadual peperiksaan adalah kekal seperti sedia ada yang bermula dari 31 Julai hingga 20 Ogos," katanya dalam notis kedua yang dikeluarkan pada jam 6 petang.

Perkembangan ini menimbulkan kecaman ramai pihak di media sosial mengatakan universiti awam tersebut menafikan hak para pelajarnya yang kebanyakannya pengundi kali pertama untuk mengundi pada PRN akan datang.

MalaysiaNow sudah menghubungi talian HEA UUM tetapi tiada sebarang jawapan.

Namun sumber berkata, walaupun tarikh peperiksaan berkemungkinan dikekalkan, pelajar yang pulang mengundi akan dibenarkan menduduki peperiksaan kemudian.

Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden menjadi antara individu terawal mendedahkan isu tersebut di media sosial yang mempersoalkan tindakan UUM mengeluarkan dua notis berbeza pada hari yang sama.

Beliau turut mempersoalkan adakah notis kedua dikeluarkan selepas pihak universiti menerima "arahan" daripada pihak tertentu yang khuatir dengan undi anak-anak muda?

"Adakah tindakan ini bertentangan dengan Akta Pilihan Raya yang menghalang pengundi keluar mengundi?," tulisnya di Facebook.

UUM adalah antara lokasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan program sesi dialog dengan pelajar, sebahagian daripada lawatannya ke seluruh negara untuk bertemu pengundi muda yang dilihat cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum tahun lepas.

Kampus UUM terletak di daerah Sintok, Kedah iaitu kira-kira 50 minit ke ibu negerinya, Alor Setar.

MalaysiaNow difahamkan, majoriti pelajar yang mengundi di luar negeri Kedah sudah membeli tiket pengangkutan awam untuk pulang ke negeri masing-masing sebelum hari mengundi.

Di Facebook, seorang ibu kepada mahasiswa tahun pertama menulis komen pada siaran Afnan mengatakan anak lelakinya berusia 20 tahun sangat teruja untuk mengundi di Negeri Sembilan pada Ogos nanti.

"Tetapi dia telefon beritahu tak boleh balik kerana ada peperiksaan.

"Kecewa anak saya tak boleh balik jumpa ibunya dan tak boleh mengundi," tulis Amni Saad.

Bahkan, ada juga pihak yang menggesa supaya para pelajar yang terkesan pergi membuat laporan polis di mana-mana balai polis berdekatan menyifatkan universiti secara jelas melanggar hak mereka untuk mengundi.

"Boleh buat laporan polis kalau benar... sebab menidakkan hak dalam perlembagaan," tulis Mohd Ashraf.

"Boleh saman ni, menafikan hak warganegara menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin," tulis Man Nor pula.