- Iklan -
Berita

Pencapaian cemerlang DAP pada PRN bawa mesej penerimaan pengundi Melayu, kata Nga

Nga Kor Ming menyifatkan kemenangan paling manis adalah di DUN Sungai Pelek, Selangor, yang mempunyai 60% pengundi Melayu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming. Gambar: Bernama
Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming. Gambar: Bernama

Pencapaian cemerlang DAP menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lepas membawa mesej penerimaan pengundi Melayu terhadap parti itu yang selama ini diselubungi persepsi negatif, kata Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

DAP memenangi 46 daripada 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah dalam PRN yang lalu.

“DAP dulu dimomok dengan pelbagai cerita palsu tetapi rakyat kini nampak komitmen parti...ini bawa mesej positif kepada parti,” kata Nga yang menyifatkan kemenangan paling manis adalah di DUN Sungai Pelek, Selangor, yang mempunyai 60% pengundi Melayu.

Nga yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dalam sidang media selepas Majlis Prapelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023 dan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2023 di sini hari ini berkata kejayaan pada PRN itu juga membuktikan kerjasama semua parti dalam Kerajaan Perpaduan berada pada landasan yang betul.

“Ini permulaan yang baik memandangkan DAP-Umno baru jalin kerjasama selama lapan bulan... berilah masa untuk kerajaan perpaduan kukuh, stabil dan menuju kecemerlangan,” katanya. 

Kejayaan DAP menang di 19 kerusi di Pulau Pinang, Selangor (15), Negeri Sembilan (11) dan satu kerusi di Kedah, menyaksikan parti itu mencapai kemenangan 97.9% pada PRN pada 12 Ogos itu.