- Iklan -
Berita

Keputusan Anwar beli peranti internet satelit Starlink ‘tidak masuk akal’

Kos tidak efektif, kurang dipercayai, kelajuan internet perlahan dan satu contoh pembelian impulsif – keputusan perdana menteri untuk mendapatkan perkhidmatan internet satelit Elon Musk perlu diteliti.

Staff Writers
4 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Facebook

Keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membeli 40 unit peranti internet Starlink untuk dipasang di universiti di seluruh negara menjadi tanda tanya bukan sahaja melibatkan kaedah pesanan itu dibuat, tetapi juga mengenai daya saing dalam kedua-dua kualiti dan harga penyedia perkhidmatan internet satelit Amerika Syarikat (AS) tersebut berbanding perkhidmatan internet tempatan.

Di media sosial, ramai yang mempersoalkan isu ini mengenai bagaimana keputusan itu dibuat tanpa melalui prosedur yang betul termasuk sama ada liputan yang ditawarkan Starlink berbaloi dengan kos yang tinggi berbanding jalur lebar dan sambungan internet mudah alih di seluruh negara. 

Mereka juga mempersoalkan mengapa kampus universiti diberi liputan Starlink, sedangkan mereka sudah mempunyai sambungan internet yang mencukupi.

"Penggunaan Starlink harus ditumpukan kepada menghubungkan mereka yang tidak dapat berhubung. Bukan untuk tempat yang mempunyai infrastruktur dan akses yang tersedia," kata Arul Prakkash dalam satu kiriman di Facebook.

"Kebanyakan kawasan kampung Orang Asli, kampung, luar bandar, sekolah, Sabah dan Sarawak memerlukan akses itu. 

“Jadi menteri dan kerajaan sepatutnya lebih tahu. Mereka tahu ini. Tetapi mahu menumpang nama Elon Musk dan Tesla.

“Pendekatan populis tidak berdasarkan data," katanya merujuk kepada pertemuan 25 minit secara maya bilionair dari AS itu dengan Anwar awal tahun ini juga menarik publisiti tidak sepatutnya.

Baca di sini: Apa yang dilakukan Elon Musk sewaktu 'pertemuan' 25 minit dengan Anwar?

Starlink merupakan perkhidmatan internet satelit yang dikendalikan oleh SpaceX milik Musk, menyediakan liputan berasaskan satelit ke lebih 56 negara, dengan rancangan sedang dijalankan untuk mengembangkannya kepada perkhidmatan telefon mudah alih. 

Sementara itu, analisis yang diterbitkan laman sesawang hal ehwal semasa tempatan Soya Cincau mempersoalkan kewajaran kerajaan membeli Starlink apabila perkhidmatan gentian optik dan jalur lebar mudah alih sudah menawarkan sambungan yang boleh dipercayai di seluruh negara pada harga yang jauh lebih rendah. 

"Jika anda melihat pada kos bulanan sahaja, Starlink lebih mahal berbanding jalur lebar gentian optik dan pelan 5G tanpa wayar di pasaran," katanya sambil memberi contoh pelbagai pakej internet yang ditawarkan di Malaysia.

"Memandangkan satelit adalah sumber terhad, Starlink juga mempunyai Dasar Penggunaan Adil dan kualiti perkhidmatan boleh terjejas berikutan cuaca buruk.”

Portal itu mengatakan rangkaian Digital Nasional Berhad yang dilancarkan pada 2020 oleh perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin untuk menaik taraf infrastruktur digital negara membuahkan hasil selepas dua tahun, dengan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses kepada jalur lebar yang lebih pantas.

Menjelang akhir tahun lepas, pelan itu mencapai sasaran liputan 4G kepada 97% penduduk, dengan lebih 7.74 juta premis mempunyai akses kepada jalur lebar gentian optik, meningkat daripada hanya 4.96 juta pada September 2020.

Kelajuan internet termasuk perkhidmatan mudah alih pula pada purata 43.46Mbps, jauh melebihi sasaran asal 35Mbps kepada 4G dan 5G.

"Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit Starlink sangat bagus untuk kawasan yang tidak mempunyai akses kepada gentian optik atau liputan 4G/5G dan anda boleh mendapatkan internet berkelajuan tinggi jika anda berada dalam jejak liputan satelit. Tetapi anda perlu membayar lebih daripada pilihan internet lain," kata laporan itu.

Langganan Starlink berharga AS$120 (kira-kira RM549) sebulan, sebagai tambahan kepada perantinya berharga AS$599 (kira-kira RM2,738).

Menurut laporan itu, mengambil contoh kepada perkhidmatan Starlink di Filipina, syarikat itu menawarkan langganan kira-kira RM226 sebulan manakala perantinya dijual pada harga kira-kira RM1,675.

Namun, menurut portal itu dengan kelajuan muat turun antara 25Mbps dan 100Mbps, ia masih "jauh berbanding apa yang anda boleh dapatkan daripada perkhidmatan 5G dan jalur lebar gentian optik di Malaysia".

"Jika anda melihat kos bulanan sahaja, Starlink lebih mahal berbanding pelan jalur lebar gentian optik dan 5G tanpa wayar semasa di pasaran.

"Jelas sekali, jalur lebar gentian optik adalah kaedah terbaik kerana ia menyediakan internet tanpa had sebenar dengan kebolehpercayaan terbaik pada harga yang jauh lebih rendah. Rangkaian mudah alih 4G dan 5G ialah pilihan terbaik seterusnya jika anda tidak mempunyai akses kepada gentian optik."

Pendedahan itu menghangatkan lagi perdebatan di media sosial sama ada “keputusan segera” Anwar membeli 40 unit Starlink sebagai masuk akal atau pun tidak, di mana 10 daripadanya akan diagihkan untuk kampus UiTM.

Satu kiriman di media sosial berkata kampus-kampus ini sudah pun menggunakan gentian optik khusus untuk keperluan internet mereka.

"Bukan jalur lebar biasa. Tiba-tiba membawa sesuatu yang lebih rendah daripada jalur lebar biasa. Seseorang di SKMM mungkin perlu mendidik menteri kita tentang teknologi," tulis Fendi Fauzi, merujuk kepada suruhanjaya yang ditugaskan memantau perkhidmatan internet Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diketuai oleh Fahmi Fadzil.

"Alangkah malangnya Malaysia mempunyai menteri komunikasi dan multimedia yang buta keupayaan teknologi seperti yang kita sedia ada," tulis Rafik Majid.

"Jadi anda memberikan internet yang lebih perlahan dengan harga yang lebih tinggi? Dan khususnya kampus mana? Berikannya kepada kampus di Sabah/Sarawak dan kita akan lihat sama ada satelit Elon akan berfungsi dengan baik," kata Shahira Khairi.

Komen lain pula berbaur sindiran terhadap keputusan Anwar. 

"Membazir. Semak dulu, tanya dulu boleh atau tidak," kata seorang pengguna media sosial. 

"BNPL - Beli Sekarang Pikir Nanti," menyertai komen pengguna lain, dan seorang lagi: "Itulah yang kami panggil pembelian impuls." 

"Kenapa beli Ford Bronco generasi sebelumnya sedangkan anda sudah memiliki Land Cruiser terbaru. Tidak cerdik. Bukan?" kata lagi satu komen. 

Dalam pada itu, John Wong mempersoalkan sikap berdiam diri universiti yang sepatutnya menentang "langkah membazir" itu. 

"Apatah lagi ia menunjukkan pemahaman yang lemah tentang teknologi. Terutamanya profesor di universiti-universiti ini yang tidak membantah keputusan membazir ini. Ini adalah contoh yang bagus tentang budaya membazir."

Sementara itu, Shahid Bolsen, seorang warga AS yang kerap menyiarkan ulasan video mengenai isu hangat di beberapa negara, turut mengkritik pembelian Starlink. 

"Ia sebenarnya tidak lebih pantas daripada perkhidmatan jalur lebar tetap yang disediakan oleh syarikat internet Malaysia. Dan ia jelas lebih mahal. Starlink juga terkenal kurang dipercayai." 

Katanya pembelian itu tidak masuk akal, sambil menambah ia menunjukkan bahawa “ia benar-benar mewakili arah yang salah”.

"Anda membayar lebih untuk internet yang lebih perlahan dan kurang dipercayai daripada syarikat asing untuk menggantikan internet yang lebih pantas dan lebih dipercayai daripada pembekal domestik? Mengapa? Kerana Elon Musk adalah nama yang berprestij?" 

"Apabila Starlink datang ke Nigeria, orang ramai teruja sama seperti Anwar teruja. Tetapi kos sebulan ternyata terlalu tinggi untuk orang yang tinggal di kampung dan kawasan luar. Mengapa anda tidak mengutamakan syarikat anda sendiri?"