- Iklan -
Berita

Anwar sendiri disiasat, Mahathir jawab dakwaan fail PM terhadap bekas menteri Umno

Dr Mahathir Mohamad berkata polis memberitahunya tentang siasatan semasa beliau menjadi perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Anwar Ibrahim untuk bersikap komprehensif atau menyeluruh dalam mendedahkan dakwaan salah laku terhadap bekas menteri Umno, mendakwa siasatan juga dibuka ke atas perdana menteri sendiri. 

Menjawab dakwaan Anwar mengenai fail yang mengandungi maklumat mengenai menteri yang berpaling tadah daripada Umno menjelang pilihan raya umum tahun lepas, Mahathir berkata ugutan pendedahan itu merupakan salah guna kuasa.

"Kalau hendak dedah, dedah semualah," kata bekas perdana menteri itu. 

"Dedah berkenaan menteri sekarang pun. Saya tahu ada kertas siasatan terhadap Anwar sendiri, walaupun saya tidak lihat.

"Polis beritahu saya semasa saya perdana menteri."

Anwar ketika majlis Jelajah Madani pada 15 Julai lalu berkata terdapat fail yang mengandungi maklumat mengenai bekas menteri Umno yang keluar parti menjelang Pilihan Raya Umum, 19 November tahun lepas. 

Beliau dilaporkan berkata fail itu mengandungi bukti penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tersebut semasa mereka dalam kerajaan.

Mahathir dalam satu kenyataan berkata ramai "orang kenamaan Melayu" takut dan "tidak senang dengan prestasi kerajaan sekarang".

"Tetapi mereka enggan menyertai sebarang gerakan yang memiliki pendapat yang sama dengan mereka," katanya.

"Mereka takut jika mereka dikenal pasti oleh kerajaan, tindakan akan diambil terhadap mereka."

Tambah Mahathir, undang-undang dibuat untuk semua orang, "bukan untuk parti lawan sahaja".

"Apakah ugutan dan tindakan seperti ini diizin oleh demokrasi.

"Siasatan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu dilakukan. Tetapi bukan untuk ugutan politik. 

"Jika benar ada jenayah tindakan undang-undang hendaklah diambil. Amatlah tidak bertanggungjawab jika diguna untuk politik parti.

"Apakah itu sebahagian dari Reformasi?"