- Iklan -
Berita

‘Saya tak pernah guna kuasa khianati Melayu dan Islam’, kata Anwar

Perdana menteri juga berkata beliau tidak pernah memperkecilkan orang Melayu dalam menyokong Chow Kon Yeow sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kepala Batas, 16 Julai. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kepala Batas, 16 Julai. Gambar: Bernama

Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah menggunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk mengkhianati bangsa Melayu dan agama Islam.

Katanya beliau juga tidak pernah memandang rendah orang Melayu dan agama Islam hanya kerana menyokong Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. 

"Lapan bulan saya tanya di Parlimen, apa saya buat yang (dianggap) mengkhianati Melayu dan Islam? Adakah sebab saya sokong Ketua Menteri Pulau Pinang? Saya tak khianat tapi saya terima kenyataan politik dan realiti. Saya mahu negara ini aman.

"Di semua negeri lain, orang Melayu dan Islam yang pegang jawatan utama seperti Yang di-Pertuan Agong, Menteri Kewangan, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Gabenor Bank Negara," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Program Seminar Malaysia Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang semalam.

Turut hadir Chow, Timbalan Ketua Menteri I Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Mohd Sayuthi Bakar. 

Perdana menteri turut menasihati orang ramai agar tidak mengizinkan permusuhan kaum berlaku sehingga menyebabkan keharmonian dan keamanan negara runtuh.

"Saya lalui pasang surut derita yang panjang, kalau rasa apa yang saya lakukan tidak cukup, lama-kelamaan saya akan perbaiki. Bukannya saya kata Anwar jadi perdana menteri, semuanya sempurna... tidak, banyak masalah.

"Tapi saya tidak bersedia untuk bertolak ansur bagi mengkhianati amanah, mencuri wang negara dan mengizinkan rasuah berterusan di negara kita," katanya.

Anwar juga berkata satu perkara yang tidak boleh dipertikai mengenai pentadbirannya ialah beliau tidak menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk mencuri duit negara, menzalimi rakyat atau memperkecil-kecilkan bangsa Melayu dan agama Islam.