- Iklan -
Berita

Muda umum kumpulan kedua calon PRN, bertembung penyandang DAP, PKR

Mereka termasuklah pengasas dan kepimpinan negeri Selangor selain aktivis hak asasi manusia.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Muda tergantung di latar belakang menjelang Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022.
Bendera Muda tergantung di latar belakang menjelang Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022.

Muda hari ini mengumumkan enam calon baru untuk kumpulan kedua bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 pada 12 Ogos ini.

Pada satu sidang media khas, parti itu menamakan antaranya pengasas Muda, Luqman Long sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Terengganu.

Selain itu, Al Hafiz Ikhwan yang merupakan pengerusi Muda Negeri Selangor sebagai calon DUN Dusun Tua di Selangor, kerusi yang kini disandang DAP.

Turut ditampilkan, aktivis dan bekas timbalan pengerusi badan hak asasi manusia, Amnesty International Malaysia, Dobby Chew bagi mewakili DUN Seri Setia yang kini disandang PKR.

Selain itu, yang lain ialah Siva Prakash (DUN Kuala Kubu Bharu) dan Afriena Shaqira Sariff (DUN Sungai Kandis), kedua-dua kerusi ini disandang DAP dan PKR.

Kedua-dua mereka juga merupakan barisan kepimpinan utama Muda di negeri Selangor. 

Dalam pada itu, parti itu turut mengumumkan pencalonan ke DUN Pulau Pinang dengan menamakan Priyankaa Loh yang juga ketua biro pendidikan negeri. 

"Beliau dibesarkan oleh keluarga berbangsa India berasal daripada Bagan, Pulau Pinang. 

"Priyankaa Loh merupakan seorang guru tuisyen kepada sebuah sekolah di Itali dan mengajar secara maya. 

"Beliau mahir berbahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Hokkien dan Tamil. Oleh itu, Priyankaa Loh kerap digelar “The Malaysian Woman” oleh kerana identiti Priyankaa Loh bercampuran bangsa," kata parti itu dalam sidang media hari ini. 

Minggu lalu, Muda mengumumkan empat calon barisan pertama bagi berdepan PRN Selangor.