- Iklan -
Berita

Muda, PSM hantar memorandum kepada ahli Parlimen, desak Zahid didakwa semula

Mereka berkata timbalan perdana menteri harus membuktikan bahawa beliau tidak bersalah di mahkamah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memegang salinan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Sosialis Malaysia dan partinya, Muda yang menggesa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi didakwa semula. Gambar: Twitter
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memegang salinan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Sosialis Malaysia dan partinya, Muda yang menggesa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi didakwa semula. Gambar: Twitter

Muda dan PSM mahu kerajaan mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi selepas mahkamah baru-baru ini menetapkan beliau dilepas tanpa dibebaskan berhubung 47 kes pecah amanah dan penggubalan wang haram dana milik Yayasan Akal Budi. 

Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi berkata, dua-dua parti itu menghantar satu memorandum bagi tujuan tersebut kepada ahli-ahli Parlimen hari ini. 

"Dakwa semula Zahid Hamidi. Jika belia tidak bersalah, buktikan di mahkamah," katanya ketika penyerahan memorandum. 

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga presiden Muda dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari antara yang menerima memorandum itu. 

Sementara Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abdul Halim, Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman mewakili kerajaan untuk menerima memorandum berkenaan.

Memorandum itu antara lain mahu keputusan melepas dan membebaskan (DNAA) Zahid itu dibahaskan dalam Parlimen, dan menggesa kerajaan memaklumkan jangka masa pemisahan pejabat Peguam Negara dan pendakwa raya. 

Sabtu lalu Perikatan Nasional (PN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan himpunan “Selamatkan Malaysia” untuk membantah keputusan mahkamah. 

Ia dilakukan selepas speaker Parlimen, Johari Abdul menolak usul PN membahaskan kes berkenaan selepas pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 minggu lalu. 

Dalam pada itu, Sevan Doraisamy, pengarah eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata hak berhimpun secara aman perlu dihormati oleh kerajaan.