- Iklan -
Berita

Aktivis Chegubard buat laporan kedua petik ucapan Anwar mengenai 'penyelesaian' rumah Sungai Long

Badrul Hisham Shaharin menyelar maklum balas perdana menteri berhubung laporan rasuahnya minggu lalu dan menggesa pihak berkuasa menyiasatnya atas 13 kesalahan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim bercakap pada majlis mengumpul dana untuk sebuah kolej swasta di Kajang pada 19 April, di mana beliau menyebut hasil daripada penjualan rumahnya di Bukit Segambut. Gambar: Facebook
Anwar Ibrahim bercakap pada majlis mengumpul dana untuk sebuah kolej swasta di Kajang pada 19 April, di mana beliau menyebut hasil daripada penjualan rumahnya di Bukit Segambut. Gambar: Facebook

Pemimpin lantang Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang membangkitkan isu mengenai kediaman rasmi Anwar Ibrahim di Kajang membuat laporan kedua hari ini, memberi butiran tambahan kepada pihak polis berhubung dakwaannya termasuk klip video ucapan perdana menteri awal tahun ini.

Badrul, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, turut menggesa polis menyiasat Anwar dan setiausaha politiknya Ahmad Farhan Fauzi kerana rasuah, pengisytiharan palsu, penyalahgunaan kuasa serta ugutan terhadapnya kerana menimbulkan persoalan integriti.

"Saya juga percaya bahawa perbuatan PM dan Farhan menggunakan polis dan membuat laporan palsu untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan mulut saya adalah bercanggah dengan undang-undang, kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan amalan demokrasi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Badrul menyenaraikan lebih sepuluh kesalahan yang dilakukan Anwar dan patut disiasat, termasuk mengikut Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Akta Akuan Berkanun, Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Akta Hasil Daripada Aktiviti Haram, serta Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kebebasan bersuara. 

Badrul Hisham Shaharin di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini.
Badrul Hisham Shaharin di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini.

Beliau berkata Anwar mempunyai sejarah salah guna kuasa ketika menjadi timbalan perdana menteri pada 1990-an, merujuk kepada pemenjaraannya bagi kesalahan itu setahun selepas dipecat pada 1998.

"Laporan ini juga dibuat kerana laporan polis dan kenyataan serta laporan media PMO merupakan satu fitnah kerana menuduh saya fitnah Anwar Ibrahim," kata Badrul merujuk laporan polis yang dibuat Farhan.

Farhan menggesa polis menyiasat Badrul dan dua yang lain kerana memfitnah Anwar berikutan laporan mereka pada 11 Julai mendesak SPRM menjalankan siasatan mengenai sebuah banglo di Kajang dan beberapa kereta mewah yang digunakan perdana menteri itu.

Peguam Anwar, Sankara Nair dalam pada itu menafikan banglo itu dibeli Anwar, sebaliknya mendakwa ia dipajak pada 2020 daripada seorang ahli perniagaan untuk tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun, Badrul berkata adalah jarang kediaman persendirian dipajak, sambil menambah bahawa amalan sedemikian biasanya melibatkan hartanah komersial seperti ladang, kedai dan kilang.

Ucapan Anwar di majlis kutipan derma

Beliau turut memberikan petikan klip video yang menunjukkan Anwar menyentuh perihal penjualan rumahnya di Bukit Segambut.

"Anwar pernah melafazkan ucapan di mana dia jual rumah Segambut dan selesaikan rumah Sg Long sebelum ini. Dan tiba-tiba hari ini menjadi pajakan.”

Ucapan itu merujuk kepada pengumuman Anwar mengenai sumbangan peribadi yang diumumkannya dalam satu majlis pada 19 April tahun ini.

"Saya secara peribadi, setelah selesai jual rumah di Segambut... saya jual tanah rumah Segambut dan settle (selesaikan) rumah di Sungai Long, dan ada lebihan setengah juta, saya maklum pada Azizah dan anak-anak, dan Insya-Allah saya beri setengah juta itu (secara) peribadi kepada ni...dah berapa dah? RM3.5 (juta), cukup untuk memulakan projek.”

Badrup berkata pihak berkuasa perlu memastikan semua aset yang diisytiharkan Anwar adalah jujur dan telus serta “bukan satu usaha untuk menyembunyikan secara proksi untuk mengelakkan rakyat mengetahui kekayaan mereka yang sebenar."

Badrul turut mempersoalkan alasan Anwar beberapa kereta mewahnya itu dipinjam daripada rakan ahli perniagaan.

Beliau berkata berdasarkan laporan berita, kereta tersebut termasuk Jaguar XJ Premium Luxury V6 dengan plat lesen VCQ 8055, dan BMW 740LE dengan nombor plat BEM 1.

"Ini juga menimbulkan persoalan, apakah ini boleh dianggap suapan?"

Beliau berkata Anwar juga pernah melakukan perjalanan menggunakan helikopter dan jet peribadi. 

"Jika ini pemberian percuma tanpa dikenakan bayaran oleh ahli perniagaan, apakah hubungan ahli perniagaan ini dengan kerajaan? 

"Adakah mereka mendapat kontrak kerajaan dengan sumbangan-sumbangan sedemikian?”

Badrul seterusnya mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa Jaguar itu dihadiahkan kepada Yayasan Aman, sebuah yayasan yang dikaitkan dengan pemimpin PKR itu.

"Apakah ini juga penyembunyian harta? Apakah yayasan tersebut dijadikan kabel untuk menerima wang hasil aktiviti haram? Pelik yayasan menerima sedekah kereta mewah," tambahnya.

Badrul berkata  pengisytiharan aset Anwar menjelang pilihan raya umum tahun lepas juga mesti disiasat. 

Beliau mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa beliau membeli sebidang tanah di Port Dickson pada harga RM1 juta pada 2022 daripada hasil penjualan rumahnya di Bukit Damansara pada 2004. 

Badrul kemudian berkata isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan sebagai berkata mereka terpaksa menjual rumah mereka di Bukit Segambut untuk mengumpul dana bagi membayar deposit calon PKR pada Pilihan Raya Umum 2018.