- Iklan -
Berita

Muhyiddin sudah lupuskan hutang, kata generasi pertama Felda, dakwaan Anwar mengelirukan

Peneroka berkata penyata pinjaman menjadi bukti pelupusan sebahagian hutang yang dibuat pada 2021.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peneroka Felda memunggah buah kelapa sawit di Felda Pasoh 4 di Jelebu, Negeri Sembilan.
Peneroka Felda memunggah buah kelapa sawit di Felda Pasoh 4 di Jelebu, Negeri Sembilan.

Seorang peneroka Felda menyifatkan dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak melaksanakan pelupusan hutang kumpulan tersebut sebagai sesuatu yang mengelirukan.

Tosrin Jarvanthi, 73, peneroka generasi pertama Felda Taib Andak, berkata penyata pinjaman menjadi bukti pelupusan sebahagian hutangnya yang dibuat pada 2021.

"Saya tampil sebagai peneroka Felda yang mahu membetulkan apa yang diperkatakan tentang hutang peneroka Felda ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri,” katanya dipetik Sinar Harian.

"Sejak saya menjadi peneroka pada 1979, itulah kali pertama saya lalui detik bersejarah hutang peneroka Felda dihapuskan.

"Malah saya sendiri pergi ke pejabat pengurusan Felda Taib Andak untuk mengambil penyata pinjaman peneroka dan perkara itu terbukti benar.”

Pada sambutan Hari Peneroka Jumaat lalu, Anwar mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

Malah, ketika melawat Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Sabtu, Anwar memberitahu beliau baru sahaja selesai menandatangani pelupusan hutang tersebut pada akhir Jun.

“Kamu kata selesai tahun 2021, selesai di mana?” katanya.

Bagaimanapun, pendirian Anwar diselar oleh warga peneroka Felda di media sosial.

Sebelum ini, Muhyiddin dalam satu kenyataan memaklumkan pelupusan hutang peneroka Felda sudah dilaksanakan di bawah pentadbirannya sekali gus menegaskan Anwar sebagai “berbohong besar” mengenai isu pelupusan hutang tersebut.

Bekas perdana menteri itu turut menegaskan pelupusan itu disahkan sendiri oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan Parlimen pada 23 Februari lalu.

Sementara itu, wakil generasi kedua, Khairol Nizam Kusnin, 38, berkata, pada mulanya dia sukar mempercayai pengumuman penghapusan hutang Felda yang dibuat Muhyiddin, dua tahun lalu.

Namun katanya, selepas penyata pinjaman peneroka dikeluarkan pejabat pengurusan Felda, ternyata sangkaannya meleset kerana sebahagian hutang peneroka telah dihapuskan ketika itu.

"Sebagai anak muda, saya harap kerajaan dan Felda dapat memberikan kenyataan yang jelas dengan bukti agar tidak mengelirukan golongan peneroka dan generasi kedua Felda di seluruh negara," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.