- Iklan -
Berita

Badan kerajaan cadang aktifkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi dengan Singapura

MyHSR Corp menjemput firma tempatan dan antarabangsa mengemukakan cadangan untuk membangunkan dan mengendalikan projek itu melalui model perkongsian awam-swasta.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail kenderaan beratur untuk memasuki pusat pemeriksaan Woodlands di Singapura dari tambak Johor. Gambar: AFP
Gambar fail kenderaan beratur untuk memasuki pusat pemeriksaan Woodlands di Singapura dari tambak Johor. Gambar: AFP

Kerajaan sedang mendapatkan cadangan daripada firma swasta untuk membangunkan kereta api berkelajuan tinggi antara ibu kota Kuala Lumpur dan negara jiran Singapura, sekali gus mengaktifkan semula projek berbilion dolar yang ditangguhkan lebih dua tahun lalu. 

Malaysia dan Singapura telah membatalkan rancangan untuk membina landasan rel sepanjang 350km yang menghubungkan kedua-dua negara selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan dengan beberapa cadangan perubahan kepada projek itu. 

Ketika itu, projek berkenaan dianggarkan menelan kos sekitar AS$17 bilion dan syarikat dari China, Jepun, Korea Selatan dan Eropah telah menyatakan minat dalam kontrak untuk membina, mengendalikan dan membiayai kereta api dan aset rel tersebut. 

Sebuah entiti milik kerajaan yang bertanggungjawab bagi projek itu, MyHSR Corp dalam satu kenyataan, menggesa sektor swasta mengemukakan cadangan untuk membangunkan dan mengendalikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura melalui model perkongsian awam-swasta.

MyHSR menjemput firma dan konsortium tempatan serta antarabangsa untuk mengemukakan cadangan. 

"(Proses) menandakan inisiatif kerajaan untuk mengaktifkan semula... projek melalui mekanisme pembiayaan baharu dan model pelaksanaan dalam usaha menambah baik lagi infrastruktur pengangkutan rel dan menggiatkan ekonomi negara," katanya. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Pengangkutan Singapura namun tidak berjaya.

Tahun lalu, Singapura mengatakan republik itu terbuka kepada cadangan baru daripada Malaysia mengenai projek itu, menurut media.