- Iklan -
Berita

Anwar sekali lagi pertahankan DAP depan penjawat awam

Perdana menteri menegaskan lebih banyak peruntukan untuk aktiviti keagamaan bagi umat Islam diberikan berbanding kerajaan terdahulu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Bandaraya Seremban, hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Bandaraya Seremban, hari ini.

Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi mempertahankan DAP di hadapan penjawat awam, kali kedua perdana menteri membuat kenyataan sedemikian dalam tempoh seminggu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di mana undi Melayu akan dilihat penting bagi gabungan pemerintah.

Ketika berucap di depan penjawat awam di Seremban, Anwar menggesa mereka supaya tidak membuang undi untuk "orang-orang kacau bilau", selepas berjanji beliau akan mencadangkan untuk menyemak semula skim gaji penjawat awam tidak lama lagi. 

Beliau menggesa penjawat awam yang akan mengundi di Negeri Sembilan pada PRN 12 Ogos ini supaya menyemak fakta oleh pihak lawan kerajaan, termasuk tuduhan terhadap DAP.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan peruntukan untuk aktiviti keagamaan bagi umat Islam masih diteruskan di bawah kerajaan sekarang meskipun turut dianggotai DAP.

"Saya bukan datang ke sini nak pertahankan DAP. Tapi saya tengok pengalaman saya sekarang dalam kerajaan, dengan pimpinan Umno di situ, PH (Pakatan Harapan) dan DAP, kita buat keputusan, belum berlaku dalam sejarah termasuk tiga tahun semasa Bersatu dan PAS dalam kerajaan, peruntukan untuk Islam lebih tinggi sekarang daripada dulu," katanya.

Beliau turut melemparkan kritikan terhadap Dr Mahathir Mohamad, dengan mengatakan bekas perdana menteri itu pernah memotong peruntukan kepada sekolah agama.

"Bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dibatalkan sama sekali oleh Mahathir pada 1999, sekarang mereka (PAS dan Bersatu) bersama dia, saya memilih untuk berbeza, kita akan bantu semua SAR.

"Bagaimana nak kata kita ini anti Islam?" soal Anwar.

Anwar berkata DAP yang diketuai Anthony Loke juga memberikan sokongan penuh kepada usaha membantu peneroka Felda.

"Mana pengkhianatan DAP ini? Pengkhianatan yang hanya dalam ucapan orang yang melahirkan rasa benci dan permusuhan antara kaum."

Awal minggu ini, seorang pemimpin Bersatu mendakwa Anwar cuba mengheret penjawat awam ke dalam politik, selepas beliau mengaitkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam ucapannya.

Anwar, ketika menafikan dakwaan terhadap DAP, berkata Zuki yang menghadiri mesyuarat Kabinet boleh menjadi saksi mengenai pendirian parti itu. 

"Anwar telah meletakkan orang nombor satu dalam perkhidmatan awam dalam keadaan serba-salah,” kata Sasha Lyna Abdul Latif dari Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu. 

Kenyataannya itu susulan ramalan bahawa enam PRN bulan depan akan mengulangi trend pilihan raya umum tahun lepas, apabila sebahagian besar pengundi Melayu menyokong Perikatan Nasional (PN).

PH dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk tidak bertembung pada PRN akan datang, membolehkan pertandingan sengit antara gabungan itu dengan PN.

Dalam satu tinjauan baru yang memfokuskan kepada Selangor, didapati langkah itu boleh merugikan gabungan kerajaan kerana pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong BN dipimpin Umno beralih kepada PN. 

Dapatan tinjauan yang diterbitkan Jurnal Institut Kajian Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura, mendapati sebahagian besar pengundi Melayu di 39 kawasan Dewan Undangan Negeri Selangor yang mengundi calon BN dalam pilihan raya tahun lepas, menunjukkan mereka akan mengundi calon PN.