- Iklan -
Berita

Anwar masih terperangkap era 1990-an?

Shamsul Amri Baharuddin berkata perdana menteri nampaknya tidak menghargai perubahan dalam masyarakat yang berlaku sejak beliau menjadi timbalan kepada Dr Mahathir Mohamad pada 1990-an.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap pada satu majlis di Kuala Lumpur, 23 Jun. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap pada satu majlis di Kuala Lumpur, 23 Jun. Gambar: Bernama

Meskipun dunia sedang memasuki era Revolusi Industri 4.0 dan kemajuan teknologi yang belum pernah disaksikan sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat masih tidak berganjak dari zaman kemuncak beliau pada 1990-an, semasa beliau menjadi timbalan kepada Dr Mahathir Mohamad, kata pemerhati.

Slogan dan naratif yang dibawa bukanlah sesuatu yang baru. 

Sebagai contoh, perkataan Madani pernah diperkenalkan Anwar pada zaman tersebut, dan kini dihidupkan semula sebagai penjenamaan untuk kerajaan pimpinan beliau. 

Terdapat persoalan mengenai naratif yang dibawa Anwar. 

Pemerhati sebelum ini menyatakan ia gagal memikat blok pengundi terbesar negara, iaitu kaum Melayu. 

Persoalan tentang sokongan Melayu terhadap pentadbiran beliau sentiasa berlegar dan Anwar menggunakan semua peluang untuk pertunjukan optik sisi Melayu beliau.

Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Anwar dan pasukan penasihat gagal melihat sifat dan perubahan masyarakat Malaysia pada zaman kemuncak beliau, berbanding pada masa kini.

"Rakyat bertambah rencam sifatnya. Ada aturan kelas iaitu T20, M20, B40 pd 2018 tak jelas pd 1998. 

“Slogan, mesej dan ucapan beliau yang diajukan pada 1998 dan sekarang tiada berbeza," katanya kepada MalaysiaNow.

Aturan kelas pada era 1990-an, katanya, ialah mengikut garis pemisah antara orang Melayu dan bukan Melayu. 

Katanya, masyarakat bukan Melayu kini menerima konsep Madani yang sebelum itu tidak diterima mereka sebelum 1998. 

Konsep itu menurut Shamsul, telah diperkenalkan seawal 1992.

Umum mengetahui majoriti penyokong Anwar yang juga menteri kewangan ialah bukan Melayu dan sebilangan kecil Melayu kelas menengah atau Melayu di bandar. 

Justeru, Anwar menggunakan menerapkan keterangkuman, atau inklusif untuk mendapat sokongan kedua-dua segmen Melayu dan bukan Melayu. 

Sebelum ini, peratusan undi Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin beliau juga menjadi pertikaian.

Bagaimanapun menurut Shamsul, pendekatan keterangkuman itu akan memerangkap Anwar. 

"Ini membuat majoriti Melayu tak selesa. Anwar tersangkut dengan prinsip inklusif iaitu kesetaraan Melayu dan bukan Melayu.

"Pelbagai contoh dalam tempoh enam bulan pemerintahan beliau. 

“Daripada gugur rayuan kes kalimah Allah sehinggalah memperkasakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan dana dan fungsi. Semua kononnya di bawah inklusif," katanya.

Isu kalimah Allah menjadi kontroversi dalam pentadbiran Anwar apabila Kementerian Dalam Negeri menarik semula rayuan semakan kehakiman kes Jill Ireland di mahkamah. 

Ia mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu kalimah Allah kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Di satu sisi lain, Anwar dikritik sebagai Islamis kerana baru-baru ini mahu memperkasakan Jakim, sebuah badan yang kerap dikritik golongan berhaluan kiri dan liberal. 

Ekoran itu, Shamsul berkata politik Anwar dilihat bersifat serba salah, sehingga mengakibatkan pemikiran beliau dan pemahaman rakyat mengenai isu-isu utama berbeza dan mengelirukan.

"Tiada yang cuba mendalami psikik politik peribadi Anwar akibat 25 tahun dalam buangan," katanya merujuk kepada tempoh pemecatan Anwar sehingga akhirnya berjaya menjadi perdana menteri.

"Dalam kalangan tentera Amerika Syarikat yang pernah ke Vietnam, Iraq dan Afghanistan, mereka selalunya dihinggapi Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) akibat terjerumus dalam peperangan. 

“Apakah Anwar terkesan oleh PTSD?" soalnya.

Menurut Shamsul, keterangkuman Anwar juga mengakibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiada pilihan kecuali bersekongkol dgn DAP.

Ini bermakna Umno, parti yang sinonim dengan perjuangan Melayu-Islam, kini terpaksa meletakkan Melayu dan bukan Melayu sebagai setara, seperti ideologi DAP.