- Iklan -
Berita

Anwar arah orang kuat PKR mohon maaf selepas ciapan hina Hadi, Dr Mahathir

Kiriman Twitter Ahmad Zaki Yamani masih kekal sehingga pagi ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan seorang penyokong kuat PKR membuat permohonan maaf berhubung ciapan Twitter yang mendoakan kematian Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir Mohamad.

“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” kata Anwar di Twitter tengah malam tadi.

Sehingga jam 10 pagi ini, Zaki masih belum memadam ciapan di Twitter itu.

Zaki sebelum ini memuat naik reaksi beliau sebagai mengulas laporan berita mengenai kesihatan presiden PAS itu.

“Ya Allah! Ambil lah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukan nya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu. P/S: Ambil sekali Mahathir,” tulis Zaki yang pernah menjadi exco Pemuda PKR ketika Setiausaha Politik Kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin, memimpin sayap itu.

Zaki juga dilihat mempertahankan kenyataannya apabila beberapa pengguna mempersoalkan kirimannya, malah menyuruh mereka memberikan dalil yang melarang seseorang daripada mendoakan kematian orang lain.

Apabila diberitahu bahawa tiada apa-apa dalil untuk membenarkan kelakuannya, Zaki berkata kematian Hadi akan "menghentikan hujah-hujah politik beliau yang memecah belah umat".

Episod terkini ini berlaku selang beberapa hari Anwar menyerang PAS selepas bekas timbalan ketua Dewan Ulamak PAS Kedah dalam ucapannya mendoakan agar negeri itu dilindungi "daripada jatuh ke tangan musuh Allah".

Walaupun Syeikh Zainul Asri Mohd Romli tidak menyebut secara khusus mana-mana kumpulan politik, ia menimbulkan kemarahan penyokong kerajaan, dengan laporan polis dibuat terhadapnya. 

Zainul bagaimanapun memohon maaf atas ucapan itu, sambil berkata beliau tidak menyasarkan sesiapa tetapi hanya mengulangi istilah yang digunakan dalam al-Quran.