- Iklan -
Berita

Bekas naib presiden MIC Sivaraj keluar parti

Katanya, beliau mahu melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya selaku Senator serta pemimpin masyarakat India, tanpa sebarang halangan atau sekatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas naib presiden MIC C Sivaraj. Gambar: Bernama
Bekas naib presiden MIC C Sivaraj. Gambar: Bernama

Bekas Naib Presiden MIC C Sivaraj meletak jawatan selaku Ketua Cawangan MIC Taman Bukit Kuchai Baru dan mengisytiharkan keluar dari parti berkenaan serta merta berkuat kuasa hari ini.

Menerusi suratnya kepada Presiden MIC S A Vigneswaran, Sivaraj berkata keputusan tersebut kerana ingin melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya selaku Senator serta pemimpin masyarakat India, tanpa sebarang halangan atau sekatan daripada mana-mana pihak, terutamanya kepimpinan parti berkenaan.

“Sejak menyertai MIC hampir 20 tahun lepas, saya yakin saya menumpukan sepenuh perhatian dan memberi komitmen yang cukup tinggi terhadap perjuangan parti.

“Secara peribadi saya merasakan keputusan ini adalah yang terbaik untuk saya dan paling penting kepada parti buat masa ini,” katanya dalam surat berkenaan.

Beliau yang mengakui berat hati dengan pilihan itu, mengesahkan kesahihan surat peletakan jawatan berkenaan ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sivaraj, 47, yang dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC selepas kalah pada pemilihan parti pada 2021, dipecat daripada jawatan itu berkuatkuasa 11 Mei lepas.