- Iklan -
Berita

Kumpulan wanita pertahan wakil Muda selepas diserang penyokong PH

Sisters in Islam juga menyelar gurauan Anwar Ibrahim baru-baru ini terhadap seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun dan menganggap pengerusi PH itu tidak sesuai menjadi perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz (kiri) berkata Anwar Ibrahim harus memohon maaf atas gurauan yang dibuat perdana menteri terhadap seorang pelajar perempuan sewaktu sesi dialog awamnya dengan pelajar universiti baru-baru ini. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz (kiri) berkata Anwar Ibrahim harus memohon maaf atas gurauan yang dibuat perdana menteri terhadap seorang pelajar perempuan sewaktu sesi dialog awamnya dengan pelajar universiti baru-baru ini. Gambar: Bernama

Pergerakan wanita Islam, Sisters in Islam (SIS) menyertai kritikan terhadap Anwar Ibrahim berhubung gurauan yang dibuatnya semasa dialog dengan pelajar baru-baru ini, ketika penyokong dan tentera siber Pakatan Harapan (PH) menyerang seorang wakil rakyat Johor kerana mendesak perdana menteri supaya memohon maaf. 

Sambil menyifatkan gurauan Anwar itu sebagai "tidak wajar, tidak boleh diterima dan tidak profesional", SIS berkata ucapan seperti itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang perdana menteri kerana ia seolah-olah mewajarkan sikap seksis.

"Selain itu, gurauan itu adalah seksis dan ia melemahkan serta mempersendakan wanita. Ia mengekalkan stereotaip berbahaya, yang menyumbang kepada budaya diskriminasi dan ketidaksamarataan. 

"Tindakan terbuka dengan memberi komen berbentuk seksis ini, khususnya dalam kalangan ahli politik amat membimbangkan. 

"Apabila ahli politik atau mana-mana individu yang berkuasa terlibat berkelakuan sedemikian, ia menghantar mesej negatif kepada masyarakat kerana ia menormalkan sikap seksis," kata SIS dalam satu kenyataan.

Anwar ketika hadir di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) pada Sabtu memuji seorang pelajar perempuan Tingkatan 6 sebelum bergurau mengatakan akan meminta nombor telefonnya sekiranya beliau masih muda.

Gurauan itu mendapat kecaman hebat daripada pengguna media sosial serta Bersatu, meskipun Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menolak kritikan itu dengan mengatakan gurauan Anwar disalahertikan.

Perlakuan itu turut mendorong Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa di Johor, menuntut permohonan maaf daripada perdana menteri.

Ia kemudian disusuli serangan oleh penyokong dan tentera siber PH.

SIS berkata, Amira sedang mengalami gangguan dan serangan kerana "berani" mengkritik perdana menteri. 

“SIS bersolidariti dengan Amira dan semua individu yang mengalami komen dan gangguan seksis.

"Kami menggesa usaha kolektif untuk mencabar dan menghapuskan seksisme dalam apa cara sekalipun, memupuk masyarakat di mana setiap individu dilayan dengan bermaruah, kesaksamaan dan rasa hormat," tambahnya.