- Iklan -
Berita

Kenyataan peribadi pemimpin parti tidak gambar pendirian BN, kata Zahid

Pengerusi Barisan Nasional itu berkata kenyataan sebegitu tidak dialu-alukan, terutama pada masa genting dengan pilihan raya semakin hampir.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berkibar di pembahagi jalan di Taman Muda, Ampang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berkibar di pembahagi jalan di Taman Muda, Ampang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.

Kenyataan mana-mana pemimpin utama daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak menggambarkan pendirian rasmi gabungan itu terutamanya dalam menghadapi  Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam situasi genting terutamanya menjelang PRN di enam negeri, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin parti komponen yang bertentangan dengan prinsip BN adalah tidak dialu-alukan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN tidak pernah mengendors mana-mana kenyataan  bersifat pandangan peribadi yang dikeluarkan sama ada oleh pemimpin MIC, MCA atau Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Kita tidak melayan pendapat individu, kerana kenyataan yang dikeluarkan (yang bertentangan dengan pendirian rasmi BN) sekadar akan memberi persepsi bahawa kita tidak mempunyai semangat kebersamaan.

“Kerjasama kita BN dengan PH kini di tahap terbaik, jadi jangan kita layan pendapat individu, malah saya ucap terima kasih pada MIC, MCA,  PBRS yang sentiasa mendukung BN untuk hadapi PRN ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di Kuala Lumpur hari ini.

Zahid berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pemuda MCA Daniel Wa semalam, yang menyarankan MCA tidak meletakkan calon dalam PRN akan datang, serta tidak membantu calon-calon yang akan bertanding.

Ia difahamkan sebagai tanda bantahan kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Adam yang melabel MCA dan MIC sebagai “biawak hidup”.

Enam negeri yang akan berhadapan dengan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Setakat ini, DUN Kelantan dan Selangor sudah dibubarkan masing-masing pada Khamis dan Jumaat lepas manakala DUN Kedah dijadual dibubar pada Rabu ini.