- Iklan -
Berita

Kenaikan bil elektrik runsingkan orang ramai

Ramai pengguna domestik mengatakan bil mereka meningkat meskipun tiada perubahan dalam penggunaan elektrik mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pengguna menyemak bil elektrik terlebih dulu sebelum membuat pembayaran secara dalam talian menerusi aplikasi MyTNB.
Pengguna menyemak bil elektrik terlebih dulu sebelum membuat pembayaran secara dalam talian menerusi aplikasi MyTNB.

Kenaikan bil elektrik sejak beberapa bulan ini merunsingkan pengguna yang terkesan dengan peningkatan ketika keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Arif Hilmi dari Alor Setar, Kedah berkata, bil elektrik kediamannya mula meningkat walaupun penggunaan perkakasan elektrik tidak berbeza.

"Paling pelik ialah pada bulan Mei lepas, apabila saya dan keluarga bercuti hampir 10 hari, tetapi bil tetap sama," katanya kepada MalaysiaNow.

Kebiasaannya, bil elektrik lelaki yang bekerja sendiri itu ialah antara RM60 hingga RM80 namun kini ia meningkat kepada RM160 hingga RM190.

Arif mempunyai sebuah pendingin hawa di rumah.

Katanya, kenaikan bilnya meningkat hampir sekali ganda pada bulan April, iaitu RM139 berbanding RM70 pada Mac.

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila ramai memuat naik tangkap layar bil elektrik di aplikasi TNB masing-masing. 

Rata-rata mengatakan mereka terbeban dengan kenaikan sama ada secara mendadak atau beransur-ansur.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata subsidi elektrik kepada golongan “maha kaya” atau T20 akan dihentikan.

Menurut kenyataan beliau, kediaman yang menggunakan bekalan elektrik yang tinggi pada masa akan datang tidak akan menerima subsidi. 

Persoalan timbul mengenai bagaimana mekanisme menentukan kedudukan status kewangan pengguna domestik mengikut bil elektrik, memandangkan ada pengguna dalam kalangan golongan berpendapatan rendah atau sederhana yang mungkin mempunyai ahli keluarga yang ramai seterusnya memungkinkan penggunaan elektrik yang lebih tinggi.

Pada Mac, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan Dewan Rakyat kira-kira RM10.76 bilion diperuntukkan kerajaan untuk menampung subsidi bil elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun.

Subsidi turut diberikan kepada perniagaan mikro, kecil dan sederhana serta pengguna dalam kategori pertanian seperti petani dan penternak.

Anwar sebelum ini berulang kali menyatakan keperluan untuk menstrukturkan semula keperluan pemberian subsidi kepada pemberian bersasar.

Ini termasuk subsidi minyak yang gas yang menurut beliau, turut dinikmati golongan kaya.

Sementara itu, situasi yang sama turut dilalui oleh Khairulfikri Saad yang menetap di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Katanya, dia hanya menggunakan satu unit pendingin hawa pada malam.

"Bil saya sebelum ini sekitar RM60 ke RM80, tetapi bermula bulan lepas, ia naik sedangkan penggunaan pendingin hawa masih sama," katanya yang bekerja sebagai penjual emas itu.

Mei lalu bil elektrik Khairulfikri meningkat kepada RM127.70 dan pada bulan ini, ia sudah mencecah RM213.

Dia tinggal seorang diri di rumah dan hanya pulang pada waktu malam.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga pada 16 Disember tahun lalu, pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Januari lalu hingga 30 Jun ini hanya memberi kesan terhadap kategori industri dan komersial apabila dikenakan surcaj 20 sen/kWj.

Menurut pengumuman itu, semua kategori tarif domestik melibatkan pengguna di rumah tidak mengalami kenaikan tarif elektrik apabila rebat 2 sen/kWj dikekalkan.

"Semua pengguna tarif terdiri daripada perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kategori tarif pertanian tertentu juga tidak mengalami kenaikan tarif elektrik kerana surcaj 3.7 sen/kWj dikekalkan," katanya.

Merujuk kepada pengumuman itu juga, pihak TNB turut mengesahkan kerajaan kini masih memperuntukkan RM8.74 bilion subsidi bagi kategori pengguna PMKS manakala RM90 juta subsidi elektrik kepada kategori pertanian.

"Bagi pengguna dalam bervoltan sederhana dan tinggi daripada kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC), kerajaan masih lagi menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion agar surcaj dikenakan itu tidak dilepaskan secara mendadak," kata TNB dalam laman sesawang rasminya.

MalaysiaNow difahamkan, penyelarasan ICPT dibuat setiap enam bulan dengan mengambil kira kos naik turun harga pasaran bahan api penjanaan.

Semalam, kerajaan mengumumkan bahawa seramai 83,000 pengguna akan mengalami kenaikan bil bulanan dengan kadar minimum RM187 atau 25%, susulan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember.

Nik Nazmi berkata, ia selaras dengan pelaksanaan subsidi bersasar bermula bulan depan, yang mana penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj, atau bil minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa pelarasan itu tidak akan menjejaskan mereka yang menggunakan di bawah 1,500 kWj – kira-kira 99% pengguna di Semenanjung.