- Iklan -
Berita

Kemarahan Melayu makin memuncak kerana kerajaan Anwar tiada hala tuju, kata Khairy

Bekas pemimpin Umno itu juga menolak teori gelombang Islam, mengatakan peningkatan kesedaran agama Melayu bukan satu-satunya sebab populariti PN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berkumpul di Dataran Merdeka untuk berbuka puasa.
Orang ramai berkumpul di Dataran Merdeka untuk berbuka puasa.

Pemimpin Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin melemparkan kritikan keras terhadap pentadbiran tujuh bulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengatakan kelemahan hala tuju ekonomi meningkatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Melayu melangkaui isu “3R” iaitu (race) kaum, (religion) agama dan (royalty) raja.

"Sejak tujuh bulan lalu, terdapat kelemahan hala tuju ekonomi yang jelas: ringgit terus lemah dan krisis kos sara hidup terus menghakis kuasa beli rakyat," tulis Khairy di Fulcrum, jurnal yang diterbitkan oleh badan pemikir dari Singapura, Institut Yusof Ishak (ISEAS). 

"Kemarahan orang Melayu yang ketara ini dikuatkan lagi dengan sikap hipokrit pentadbiran sekarang, yang bercakap tentang membasmi rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik tetapi pada masa yang sama melindungi pemimpin Umno berkait rasuah.

“Apa yang kita mungkin lihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah kurangnya 'Gelombang Hijau' berbanding tsunami rasa tidak puas hati," katanya, menggunakan frasa yang digunakan untuk menggambarkan kejayaan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Khairy berkata peralihan sokongan orang Melayu lebih berkisar kepada rasa tidak puas hati dalam masyarakat itu terhadap isu seperti ekonomi dan cara kerajaan menangani rasuah.

Beliau berkata tidak seperti kebangkitan PAS pada era 1980-an dan 1990-an, populariti parti itu ketika ini menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) mempunyai "lebih banyak dimensi daripada sekadar peningkatan kesedaran agama dalam kalangan orang Melayu". 

"Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah kurang kebangkitan 'gelombang hijau' ekstremis berbanding luahan rasa tidak puas hati yang tulen dalam masyarakat Melayu yang melangkaui isu 3R," tambahnya.

Sebanyak enam negeri akan mengadakan PRN dalam beberapa bulan akan datang: Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu. 

Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) manakala Kedah, Kelantan, dan Terengganu di bawah PN, yang membuat kejutan pada PRU15 tahun lepas. 

Ini termasuk di kawasan kubu kuat PH dan Barisan Nasional (BN). 

Mengulas mengenai prestasi PN dalam PRU15, Khairy berkata gabungan itu memenangi kerusi di luar kubu kuat Melayu-PAS dan memperluaskan cengkaman di beberapa kawasan bandar yang mempunyai jumlah pengundi Melayu lebih rendah.

"Calon-calon yang menang berkempen di bawah bendera PN dan tidak menggunakan simbol bulan yang dikaitkan dengan PAS serta politik Islam,” tambahnya.

Khairy, yang belum menyatakan pendirian untuk menyertai parti lain selepas dipecat daripada Umno, turut memberi amaran menggunakan PRN akan datang sebagai “pilihan jati diri rakyat Malaysia" boleh memakan diri dan mendorong lebih ramai pengundi Melayu menyokong PN. 

"Orang Melayu di Malaysia secara zahirnya menjaga kewajipan agama mereka tetapi ini tidak bermakna terdapat gelombang ekstremisme Islam di Malaysia," katanya.