- Iklan -
Berita

Anwar yakin gabenor BNM baru mampu teruskan kebijakan monetari mampan, stabil

Perdana menteri turut menaruh sepenuh kepercayaan kepada Shaik Abdul Rasheed dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan berhampiran logo Bank Negara (BNM) di Kuala Lumpur, 12 Mei. Gambar: Reuters
Seorang lelaki berjalan berhampiran logo Bank Negara (BNM) di Kuala Lumpur, 12 Mei. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour mampu meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil.

Perdana menteri turut menaruh sepenuh kepercayaan kepada Shaik Abdul Rasheed dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta.

Shaik Abdul Rasheed bakal mengambil alih jawatan Gabenor daripada Nor Shamsiah Mohd Yunus yang dijadual menamatkan khidmatnya pada 30 Jun ini.

“Hari ini, saya telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bank Negara yang baharu Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour di pejabat.

“Saya menzahirkan rasa keyakinan yang tinggi kepada beliau dalam meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil, dan ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Anwar turut mengutuskan penghargaan kepada Nor Shamsiah atas jasa bakti beliau mengemudi BNM terutama ketika negara melalui saat-saat sukar dan getir sepanjang tempoh Covid-19 menyerang.