- Iklan -
Berita

Saya tak pernah arah ambil tindakan terhadap sesiapa, kata Anwar

Perdana menteri berkata sebaliknya arahan adalah supaya tindakan diambil terhadap semua yang terkait dengan sebarang masalah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan supaya tindakan diambil terhadap mana-mana pihak tertentu sejak memegang jawatan itu.

Beliau berkata sebaliknya arahan adalah supaya tindakan diambil terhadap semua yang terkait dengan sebarang masalah.

"Saya tak pernah arah ambil tindakan kepada sesiapa. Saya arah tindakan kepada semua yang terkait dengan permasalahan.

“Ini saya sebut kerana saya mahu keluarga penjawat awam ini yakin bahawa pimpinan berada di landasan yang betul dan supaya boleh bekerja dengan penuh semangat," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan di Dewan Besar Balai Islam Lundang, di Kota Bharu semalam. 

Turut hadir Menteri Besar Ahmad Yakob, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Nazran Muhammad.

Mengulas lanjut, Anwar juga mahu sikap gelojoh apabila memegang jawatan tidak lagi diulangi.

"Tidak boleh mengulangi sikap gelojoh yang bila pegang jawatan pastikan anak pinak, keluarga dan kroni kaya raya tanpa ikut peraturan, memberi atau mengambil kontrak sesuka hati dan bila kena siasat dakwa ini semua tindakan politik.

"Saya tidak ada di sini untuk pegang jawatan dan balas dendam, hina orang dan dakwa, serta menghukum… bukan kerja saya. Arahan saya jelas dan ingat semua penjawat awam negeri dan persekutuan di mana-mana peringkat sekalipun urus negeri dengan amanah dan baik,” katanya.

Anwar berkata arahan beliau kepada badan-badan lain juga jelas supaya tindakan diambil tidak mengira pangkat dan darjat.

"Arahan saya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dan semua penguat kuasa lain jalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani, tidak kira pangkat dan darjat,” katanya.