- Iklan -
Berita

Kertas Putih Kesihatan dibentang di Dewan Rakyat hari ini

Soalan lain yang akan dibangkitkan adalah mengenai perlindungan sosial untuk kumpulan B40, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan kebajikan atlet negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah mural bertajuk 'Kita Jaga Kita', memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19, terbentang lebih 152m di Hospital Columbia Asia-Tebrau di Johor Bahru. Gambar: Bernama
Sebuah mural bertajuk 'Kita Jaga Kita', memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19, terbentang lebih 152m di Hospital Columbia Asia-Tebrau di Johor Bahru. Gambar: Bernama

Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentang dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan laman rasmi Parlimen, usul Kertas Putih itu dijadual dikemukakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa selepas berakhirnya sesi perbahasan dan penggulungan usul Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Sebanyak 17 Ahli Parlimen sempat membahaskan usul Laporan Suhakam sebelum mesyuarat ditangguh semalam, manakala lima lagi akan menyambung perbahasan sebelum sesi penggulungan hari ini. 

Sabtu lepas, Dr Zaliha dilapor mengesahkan bahawa Kertas Putih Kesihatan yang merangkumi dasar komprehensif dalam mereformasi sistem kesihatan untuk dilaksanakan secara berperingkat selama 15 tahun dipersetujui Kabinet untuk dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat minggu ini.

Sementara itu, antara yang menjadi tumpuan dalam sesi soal jawab hari ini ialah pertanyaan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 dan memperuntukkan baucar kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk menyertai pelan perlindungan. 

Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pula meminta penjelasan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diletakkan di bawah seliaan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi memastikan kawalan tatatertib efektif dan meningkatkan integriti agensi itu. 

Beberapa soalan juga akan diajukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) antaranya daripada Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) tentang usaha kementerian itu untuk menjaga kebajikan atlet veteran yang telah mengharumkan nama negara, terutamanya atlet Paralimpik.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula mahu KBS menyatakan pelan jangka panjang untuk meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi bagi mewujudkan keseimbangan antara kehidupan dengan kerja dalam kalangan rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 11 hari dan akan berakhir esok.