- Iklan -
Berita

Kerajaan perlu noktahkan tuntutan waris Kesultanan Sulu, gesa ahli Parlimen Sabah

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin berkata sehingga kini isu itu menjadi satu kebimbangan dan kegusaran rakyat di negeri di bawah bayu itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu menjadi satu kebimbangan dan kegusaran rakyat di negeri Sabah. Gambar: Bernama
Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu menjadi satu kebimbangan dan kegusaran rakyat di negeri Sabah. Gambar: Bernama

Ahli-ahli Parlimen dari negeri Sabah bangkit mempertahankan kedaulatan negeri itu dengan mempersoalkan adakah kerajaan Malaysia mampu meletakkan titik noktah terhadap tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas negeri di bawah bayu itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin dari Barisan Nasional (BN) menegaskan tuntutan pihak tersebut ke atas negeri Sabah tidak akan berakhir memandangkan ahli-ahli senat di Filipina akan menggunakan isu tuntutan tersebut sebagai salah satu agenda utama menjelang pilihan raya di negara berkenaan.

“Keseluruhan calonnya bercakap tentang tuntutan ke atas Sabah.

“Siapa calon yang bercakap, berkempen mengugut tuntutan (pula) akan kalah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mencelah sewaktu sesi penerangan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang perkembangan terkini berhubung lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu dan tuntutan mereka terhadap Malaysia.

Menurut Bung, sehingga kini isu itu menjadi satu kebimbangan dan kegusaran rakyat di negeri Sabah.

Katanya, kerajaan perlu menoktahkan tuntutan tersebut selama-lamanya kerana kepulauan Sabah bukan lagi menjadi milik Filipina dan ianya sudah merdeka selepas menyertai pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Ahli Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal dari Warisan bangun dan turut menggesa perkara yang sama.

Baginya, isu tuntutan dan kes keganasan serangan lanun-lanun di kepulan Sabah amat meninggalkan kesan kepada rakyat negeri itu.

Pada masa yang sama, ianya turut memberi pengalaman yang peribadi kepada dirinya dan keluarga apabila salah seorang bapa saudaranya yang maut disebabkan serangan lanun masih belum dijumpai sehingga hari ini.

Beliau turut meminta supaya konflik tuntutan ini mendapat sokongan dan solidariti daripada seluruh rakyat Malaysia dan bukannya menjadi satu isu yang dipolitikkan.

“Kami sering kena sistem yang senang dibolosi oleh pihak anasir-anasir ini dan saya juga berharap supaya sistem pertahanan kita (dan) keselamatan dapat dipertingkatkan untuk memastikan kelangsungan rakyat Malaysia bukan sahaja rakyat di sekitar itu tetapi juga dalam sektor pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri memberitahu sehingga kini pihak yang membuat tuntutan sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Manakala kerajaan Malaysia sudah dan sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan terhadap tindakan oleh pihak yang membuat tuntutan tersebut.

“Malaysia akan meneruskan segala usaha dalam mempertahankan hak kedaulatan negeri berkenaan melalui semua bidang kuasa berkaitan termasuk di Belanda, Perancis, Luxembourg dan mana-mana bidang kuasa di mana ‘Final Award’ tersebut ingin diiktiraf dan dikuatkuasakan,” katanya dalam sesi penerangan tersebut.

Pada masa sama, kerajaan juga sedang menunggu satu lagi keputusan penting di Mahkamah Rayuan Belanda berhubung permohonan pihak yang membuat tuntutan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan “Final Award” di Belanda yang dijangka akan dikeluarkan pada 27 Jun 2023.

Katanya, meskipun keputusan pada 6 Jun lalu berpihak kepada Malaysia, namun kerajaan mendapat maklumat bahawa pihak Kesultanan Sulu akan meneruskan taktik mereka untuk menguatkuasakan “Final Award” tersebut di negara-negara lain.

“Ini merupakan suatu tindakan penyalahgunaan dan pelanggaran mekanisme mahupun proses mahkamah dan timbang tara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.”

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan kerajaan tidak sama sekali akan berkompromi dalam aspek kedaulatan dan keselamatan negara termasuk memberi keutamaan melindungi aset negara daripada ancaman pihak luar.

Katanya, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung serta bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan.

“Buat masa ini, polis telah pun memulakan siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.