- Iklan -
Berita

Penggunaan vape dalam kalangan remaja meningkat, kata Kementerian Kesihatan

Bilangan remaja yang didapati menggunakan vape meningkat daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian kesihatan memberi amaran tentang peningkatan ketara dalam bilangan remaja yang menggunakan vape atau rokok elektronik.
Kementerian kesihatan memberi amaran tentang peningkatan ketara dalam bilangan remaja yang menggunakan vape atau rokok elektronik.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mencatatkan peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, dari 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022, kata Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu Kenyataan berkata, peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu dari 2.8% pada 2017 meningkat kepada 6.2% pada 2022.

Radzi berkata rokok elektronik terbukti mendatangkan kemudaratan kepada pengguna sambil menambah peranti berkenaan merupakan “sejenis produk merokok alaf baru”.

“Antara penyakit utama yang dikesan adalah E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury atau Evali,” tambahnya.

“Bahan-bahan yang terkandung di dalam cecair rokok elektronik apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberikan kesan keradangan kepada lapisan paru-paru dan menyebabkan penyakit Evali.”

Kenyataan KKM itu dibuat sehari selepas Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, yang membentangkan rang undang-undang tersebut untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, berkata ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan cadangan undang-undang itu dapat diluluskan segera.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk mengawal penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok demi kesihatan awam dan untuk mewujudkan generasi bebas asap rokok.

Fasal 13 dan 14 rang undang-undang mencadangkan larangan penjualan produk tembakau dan bahan merokok kepada individu yang lahir mulai 1 Januari 2007 dan ke atas.

Rang undang-undang itu memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih setahun terhadap sesiapa yang didapati menjual produk itu kepada individu yang lahir mulai 1 Januari 2007.

Ia juga memperuntukkan denda tidak lebih RM500 atau khidmat masyarakat bagi mana-mana individu daripada generasi "penamat rokok" yang didapati membeli produk tersebut.

Tindakan merujuk rang undang-undang itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mencetuskan kritikan baru daripada badan pemikir kesihatan awam Galen Center for Health and Social Policy, yang mengatakan rang undang-undang kawalan tembakau adalah lebih kritikal berbanding sebelum ini berikutan langkah kontroversi menteri kesihatan untuk menyahsenaraikan nikotin sebagai bahan terkawal.

KKM hari ini berkata pihaknya memantau aktiviti berkaitan vape atau penggunaan rokok elektronik melalui pekeliling daripada ketua pengarah kesihatan sejak Jun 2022, dan menerima 17 kes berkaitan Evali setakat Jun tahun ini.

“KKM ingin mengingatkan semua pengguna bahawa rokok elektronik atau vape adalah tidak selamat kerana memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan ia bukan satu kaedah alternatif untuk berhenti merokok.”