- Iklan -
Berita

Kesan dasar pendidikan yang sering berubah

Anuar Ahmad berkata pemimpin harus menghormati dasar yang dilaksanakan oleh kepimpinan terdahulu, kerana perubahan berterusan menimbulkan kebimbangan mengenai pembangunan pelajar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang guru menghulurkan bahan pembelajaran kepada pelajar di sebuah sekolah rendah di Segambut.
Seorang guru menghulurkan bahan pembelajaran kepada pelajar di sebuah sekolah rendah di Segambut.

Dasar pendidikan yang kerap berubah mengikut pertukaran kepimpinan di peringkat nasional dan kementerian menjadikan murid, ibu bapa dan guru mangsa kepada keadaan itu apabila jutaan murid yang terlibat berisiko untuk ketinggalan berbanding negara serantau.

Sebelum ini, ramai yang telah menzahirkan kebimbangan murid-murid akan menjadi “tikus makmal” dengan dasar-dasar yang berubah.

Sebagai contoh, kerajaan pernah memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada zaman pentadbiran pertama Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu dan kemudian dimansuhkan.

PPSMI kemudian pernah dicadangkan untuk dilaksanakan semula oleh Mahathir dalam kempennya untuk menawan semula Putrajaya pada 2018.

Kementerian Pendidikan juga pernah mencadangkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2016, ketika zaman Barisan Nasional (BN).

Ia akhirnya dimansuhkan pada 2021 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Umno juga pernah mencadangkan agar sekolah aliran Inggeris diperkenalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad berkata, kepimpinan perlu mempunyai sikap menghormati dasar-dasar yang dilaksanakan kepimpinan terdahulu.

"Pihak-pihak yang dilantik perlu mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai pentingnya melaksanakan dasar yang diadakan pemimpin sebelum mereka.

“Ini penting kerana kita tak mahu dasar yang sedang dalam perlaksanaan dipinggirkan," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut beliau, ia penting walaupun kepimpinan terdahulu terdiri daripada seteru politik mereka.

"Siapa yang melaksanakan dasar tidak penting, tetapi implikasi dasar kepada pembangunan dan anak-anak kita," katanya.

Disebabkan perubahan dasar yang memeningkan pelajar, ibu bapa dan guru, ada pihak yang mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja untuk pendidikan.

Ia bagi mengelakkan campur tangan politik dan kegilaan menukar dasar.

Di sesetengah negara maju juga, dasar pendidikan di sekolah dilaksanakan mengikut daerah masing-masing dan tidak terlalu berpusat.

Namun bagi bekas pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan UKM Azlin Norhaini Mansor, pendidikan di Malaysia sememangnya memerlukan perubahan.

"Dunia sentiasa berubah. Sebenarnya Malaysia lambat melaksanakan perubahan dan tidak ikut peredaran," tambahnya.

Menurut Azlin, kebijaksanaan kepimpinan amat diperlukan sekiranya sebarang perubahan dasar dibuat.

Katanya, tiada jaminan keputusan suruhanjaya diraja pendidikan tidak ditolak oleh menteri pendidikan.

Selain UPSR, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) juga dimansuhkan dan diganti oleh Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD).

Azlin berkata, beliau mahu melihat UPSR dan PT3 dilaksanakan secara hibrid bersama PBD.

Dalam pada itu, Anuar berkata, dasar yang ingin diperkenalkan harus berdasarkan kajian dan data yang komprehensif.

Katanya, tiada data meyakinkan yang mendasari keputusan kerajaan memansuhkan UPSR dan PT3 sebelum ini.

"Apabila seorang menteri mengatakan dia ingin membuat dasar baru, dia dikatakan menteri yang bagus.

“Ini satu keadaan yang tidak boleh dipersetujui," katanya.

Contoh lain katanya ialah Sekolahku Sejahtera, satu dasar yang diperkenalkan awal tahun lalu.

"Tiada kajian dan tiada apa-apa usaha yang meyakinkan rakyat. Apa yang berlaku, program itu dilaksanakan tetapi tiada implikasi terhadap pembangunan.

"Guru-guru disibukkan dengan program Sekolahku Sejahtera dan mereka banyak membuang masa untuk perkara seperti itu," jelasnya.

Anuar berkata suruhanjaya itu, jika ditubuhkan, mungkin akan terpaksa akur kepada kepimpinan politik yang mentadbir.